Minggu lepas Infinix mengumumkan GT 30 akan dilancarkan di Malaysia dan seperti yang dijanjikan telefon pintar ini telah pun tiba meyertai model Pro yang hadir pada Mei lalu.

Telefon pintar permainan mudah alih ini menampilkan paparan AMOLED 1.5K 6.78-inci dengan kadar penyegaran semula 144Hz dan kecerahan puncak 1,600 nits. Sama seperti model Pro, GT 30 juga menyediakan butang bahu pemicu kapasitatif.

Lain-lain ciri merangkumi sensor pengimbas cap jari terbina bawah paparan dan sistem pencahayaan dinamik pada bahagian belakangnya. Melengkapkan keseluruhan spesifikasi, telefon pintar ini juga mempunyai penarafan kerintangan debu dan air IP64.

Di dalamnya, telefon pintar baharu Infinix ini juga dimuatkan dengan pemprosesan MediaTek Dimensity 7400 bersama-sama RAM 8GB dan storan 256GB. Menguasakannya sebuah bateri berkapasiti 5,500mAh dengan sokongan pengecasan pantas 45W dan pelencongan (bypassing) pengecasan. Tambahan dari itu, ia juga didatangkan dengan sistem penyejukan Infinix 3D Vapor Cloud Chamber Cooling untuk pengurusan haba.

Dari segi perisian, ia menggunakan antaramuka XOS 15 berasaskan Android 15 dengan jaminan dua kemaskini utama Android dan tiga tahun kemaskini keselamatan. Sama seperti telefon pintar keluaran yang terkni, GT 30 juga dilengkapkan dengan ciri-ciri berkuasa AI. Antaranya rumusan panggilan berasaskan AI dan hiasan latar janaan AI.

Untuk pengimejan, telefon pintar ini menampilkan kamera utama 64MP, dan kamera ultra lebar 8MP pada bahagian belakangnya. Untuk swafoto pula, disediakan sebuah kamera 13MP di hadapan.

Infinix GT 30 boleh didapati dengan tiga pilihan warna iaitu Cyber Blue, Pulse Green, dan Shadow Ash. Bagi anda yang berminat, dapatkannya menerusi platform dalam talian rasmi di ShopeeLazada, dan TikTok Shop atau secara fizikal melalui wakil pengedar yang sah di seluruh negara.

Bersempena pelancarannya, pembelian Infinix GT 30 berpeluang untuk menerima hadiah percuma GT Gaming Kit bernilai RM129, mengandungi MagCase dan kipas penyejuk selagi stok masih ada.

Tinggalkan komentar