Kementerian Komunikasi dan Informatika (Kominfo) Indonesia telah mengeluarkan amaran sekatan terhadap semua perkhidmatan dan laman dalam talian termasuk WhatsApp, Facebook dan Google pada 21 Julai 2022 jika gagal mendaftar dengan pihak kerajaan.
Menurut CNN Indonesia, Menteri Kominfo Johnny Plate mengarahkan kesemua penyedia perkhidmatan swasta perlu mendaftar sehingga 20 Julai 2022 dan boleh dibuat secara dalam talian di platform Penyelenggara Sistem Elektronik Lingkup Privat (PSE).
Mana-mana laman atau penyedia perkhidmatan dalam talian yang gagal berbuat demikian akan berdepan dengan tindakan sekatan pada 21 Julai ini. Laporan CNN berkenaan juga menyebut beberapa nama-nama besar Internet seperti Google, Youtube dan Twitter juga masih lagi belum berdaftar sehingga kini.
Sebahagian besar perkhidmatan lain seperti Spotify, Gojek, Tokopedia, Traveloka, TikTok, DailyMotion dan Linktree bagaimanapun sudah mendaftar di platform PSE berkenaan.













