Pengumuman rasmi Samsung Galaxy S22 yang dijadualkan berlangsung pada Februari ini kian hampir. Menjelang tarikh tersebut, semakin banyak maklumat mengenainya tertiris di internet termasuk imej pengolokan dan juga gambar nyatanya.

Kini, imej pengolokan rasmi Samsung Galaxy S22 Ultra pula telah tertiris. Berdasarkan reka bentuk luarannya, kebanyakan pihak berpendapat ia merupakan penyambung kesinambungan siri Galaxy Note.

Imej pengolokan yang dikongsikan oleh Evan Blass di Twitter memperlihatkan apa yang sering diperkatakan di internet sebelum ini. Antaranya termasuklah tata susunan kamera pada bahagian belakangnya serta tempat menyimpan S-Pen, tidak seperti Samsung Galaxy S21 Ultra.

Paparan hadapannya juga kelihatan mirip dengan Galaxy Note 20 Ultra dengan bucu melengkung pada kedua-dua belah sisinya. Serta rekaan berbucu selain modul-modul kamera yang dijangka akan ditambahbaik. Samsung Galaxy S22 Ultra juga dijangka akan mempunyai paparan seperti yang terdapat pada S21 Ultra, iaitu panel AMOLED LTPO 120Hz dengan resolusi QHD+.

Dari segi pemprosesannya, Samsung Galaxy S22 Ultra dikatakan mungkin akan dilengkapkan dengan sama ada Samsung Exynos 2200 atau Qualcomm Snapdragon 8 Gen 1, mengikut di mana ia dipasarakan. Tidak dapat dipastikan apakah jenis pemprosesan yang akan digunakan bagi pasaran di Malaysia kelak.

Tinggalkan komentar