Melalui laman khusus i-Lestari di https://ilestari.kwsp.gov.my/, pencarum KWSP kini boleh memohon secara dalam talian tanpa perlu log masuk ke i-Akaun. Malah, pencarum juga tidak perlu lagi untuk mengisi borang secara manual.

Portal khusus di KWSP ini juga bercirikan mesra pengguna yang memudahkan urusan pengguna. Untuk permohonan baharu i-Lestari, pencarum hanya perlu menyediakan nama penuh, nombor kad pengenalan, nombor telefon bimbit, alamat emel, jumlah amaun pengeluaran pilihan (RM50 hingga RM500 sebulan) dan maklumat akaun bank. Bagi pencarum yang sudah memohon, anda juga boleh membuat semakan melalui portal yang sama.

Para pemohon boleh membuat semakan status permohonan masing-masing pada dua hari selepas permohonan dihantar. Pihak KWSP juga akan menghantarkan satu SMS ke nombor yang telah didaftarkan sebagai pengesahan pengeluaran telah dikreditkan.

Kaedah baru ini diharapkan mampu mempermudahkan urusan pengeluaran KWSP di bawah inisiatif i-Lestari. Sebelum ini, permohonan dalam talian hanya terhad kepada pencarum KWSP yang telah mengaktifkan i-Akaun masing-masing.

Permohonan secara emel dan pos juga diterima sebelum ini, namun mengambil masa yang lebih panjang untuk diproses. KWSP juga turut ada menawarkan pendaftaran i-Akaun melalui emel, tetapi proses ini memerlukan proses pengesahan alamat dan nombor telefon bimbit.

Inisiatif pengeluaran ini merupakan salah satu usaha yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri bagi membantu rakyat Malaysia menghadapi wabak pandemik COVID-19. Pencarum KWSP dibenarkan untuk membuat pengeluaran Akaun 2 sehingga RM500 pada setiap bulan untuk tempoh maksima 12 bulan (April 2020 hingga Mac 2020). Perdana Menteri juga menasihatkan para pencarum KWSP menggunakan wang tunai yang dikeluarkan tersebut digunakan sebaiknya untuk tujuan seperti membeli barang keperluan dan juga membayar sewa atau bil utiliti.

Tinggalkan komentar