Selepas pelbagai desas-desus mengenainya, Huawei kini secara rasminya telah melancarkan P40 dan P40 Pro 5G. Kedua-dua model telefon pintar mercu keluaran Huawei ini merupakan kesinambungan dari siri P30 yang hadir pada tahun lepas.

Untuk P40 Pro 5G, telefon pintar ini menampilkan paparan OLED 6.58-inci. Manakala untuk P40 pula, ia menawarkan paparan yang sedikit kecil saiznya iaitu pada 6.1-inci. Resolusi paparan P40 Pro 5G mampu mencapai sehingga 2640 x 1200 piksel pada kadar segar semula 90Hz.

P40 Pro 5G memiliki penarafan IP68 untuk kerintangan air dan debu. Oleh itu, ianya mampu bertahan jika terjatuh ke dalam air. Bagaimanapun, ianya tidak boleh dibiasakan kerana dibimbangi boleh menyebabkan kerosakan luar jangka.

Kedua-dua model telefon pintar ini mempunyai persamaan dari segi cipsetnya yang menggunakan Huawei Kirin 990 5G, namun dibezakan pada beberapa sudut yang lain.

Kamera Huawei memang terbaik

Spesifikasi kamera P40 Pro 5G mengandungi sebuah lensa Ultra Vision Wide 50MP, sebuah lensa telefoto 12MP 5x Optikal dan penderia kedalaman Time of Flight (TOF).

Untuk P40 pula, kamera utamanya menampilkan tetapan tri-kamera yang mengandungi Ultra Vision Wide 50MP, sebuah lensa ultra lebar 16MP, dan lensa telefoto 8MP 3x Optical.

Huawei juga turut mengejutkan penonton-penonton siaran majlis pelancaran rasminya dengan mengumumkan P40 Pro+. Telefon pintar ini hampir mirip dengan P40 Pro 5G, melalui paparan 6.58-inci 90Hz, Quad Curve, Flex OLED, selain dari penggunaan cipset yang sama. Apa yang membezakannya adalah tetapan kamera utamanya, Apa yang membezakannya adalah pada tetapan kamera utamanya yang hadir dengan penta-kamera (lima kamera). Kamera utamanya mengandungi lensa 50MP Ultra Vision Wide, lensa 40MP Ultra Wide Cine, lensa telefoto 10MP 10x Optical, lensa telefoto 8MP 3x Optical dan lensa penderia kedalaman Time of Flight (TOF).

Untuk lensa 50MP Ultra Vision Wide pada Huawei P40 Pro 5G dan Huawei P40 Pro+, ia mempunyai ISO maksimum 409600. Manakala untuk P40 pula, ISO maksimumnya adalah pada 204800.

Penambahbaikan pada kamera ini bukan sekadar pada perkakasannya sahaja semata-mata. Huawei turut memberi penambahbaikan pada perisian untuk kamerannya melalui AI Best Moment, AI Remove Passerby, dan AI Remove Reflections yang dirangkumkan bersama portfolio Golden Snap.

Swafoto dengan kesan Bokeh

Tidak ketinggalan, kamera hadapan ketiga-tiga model siri Huawei P40 ini menampilkan modul-modul lensanya yang tersendiri iaitu lensa 32MP AF, penderia kedalaman IR perubahan pergerakan, dan lensa ambien dan proksimiti. Huawei menyatakan modul terbaru ini membolehkan pengguna mengambil gambar swafoto dengan kesan bokeh yang lebih baik.

Huawei P40 dan P40 Pro 5G bakal memasuki ke pasaran bermula 7 April ini, manakala P40 Pro+ pula akan hadir sekitar bulan Jun 2020. Untuk harga, P40 dan P40 Pro 5G masing-masing akan dijual pada harga €799 (~RM3846) and €999 (~RM4808). Manakala untuk P40 Pro+ pula akan hadir dengan harga €1399 (~RM6734).

Buat masa ini tiada sebarang maklumat mengenai keberadaan model telefon pintar mercu terbaru Huawei ini untuk pasaran Malaysia.

Tinggalkan komentar