Huawei baru-baru ini telah melancarkan MediaPad M3 Lite untuk pasaran Malaysia. Tablet ini agak unik kerana menampilkan kualiti sistem audio yang sedap hasil kerjasama di antara Huawei dengan otai kejuruteraan audio, Harman Kardon.

Huawei MediaPad M3 Lite menampilkan paparan 8 inci 1920 x 1200 dengan teknologi “ClariVu”. Menurut Huawei, ClariVu mempertingkatkan kualiti paparan sinematik dan teks dengan “penapisan cahaya biru dan pelarasan warna dinamik” yang turut memberikan perlindungan pada mata pengguna.

Ciri unik pada audio tablet ini turut menyediakan dwi speaker stereo dengan audio SWS3.0 Harman Kardon. Untuk kameranya pula, MediaPad M3 Lite hadir dengan kamera 8MP di belakangnya dan 8MP untuk kamera hadapan. Tidak ketinggalan, tablet Huawei ini turut menyediakan penderia cap jari.

Lain-lain spesifikasi tablet Huawei terbaru ini termasuklah chipset Qualcomm Snapdragon 435 dengan RAM 3GB, storan dalaman 32GB, bateri 4,800mAh dan antara muka EMUI 5.1 yang berasaskan Android 7.0 Nougat. MediaPad M3 Lite turut didatangkan dengan dua pilihan warna; Emas (Gold) dan Kelabu Angkasa (Space Gray).

Bersempena dengan pelancaran MediaPad M3 Lite ini, Huawei turut memotong harga tablet MediaPad M3 dari RM1999 kepada RM1699 bermula 13 Oktober ini. Seiring dengan MediaPad M3 Lite yang akan berada di pasaran pada tarikh yang sama. Huawei MediaPad M3 Lite boleh didapati kedai Huawei Experience, Display Zones dan peniaga-peniaga terpilih dengan harga RM999. Selain itu, pembelian atas talian juga boleh dilakukan melalui portal VMall.my.

Tinggalkan komentar