Telefon pintar boleh lipat pertama dari Huawei, Mate X kini dilancarkan dan ianya juga berkeupayaan menyokong rangkaian 5G.
Dikuasakan oleh pemprosesan mercu keluaran Huawei sendiri, Kirin 980, Mate X memiliki keupayaan 5G melalui penggunaan modem 5G Balong 5000 yang juga dibangunkan oleh Huawei.
Telefon pintar ini hadir dengan RAM 8GB dan storan dalaman 512GB yang mana boleh diperbesarkan melalui NM Card, yang diperkenalkan oleh Huawei pada siri Mate 20 beberapa bulan lepas.
Huawei turut menyatakan paparan Mate X dibina dengan panel OLED ini berukuran 8-inci apabila ianya dibuka. Apabila ia dilipat, ukuran telefon pintar ini pada paparannya menjadi berukuran 6.6-inci pada bahagian hadapan dan 6.38-inci pada bahagian belakangnya. Setiap mod juga mempunyai resolusi skrin yang berbeza iaitu, 2480 x 2200 apabila dibuka, 2480 x 1148 pada bahagian hadapan, dan 2480 x 892 pada bahagian belakang apabila ianya dilipat dua.
Ciri Tri-Kamera
Sama seperti siri Mate 20, Mate X hadir dengan tetapan tri-kamera pada kamera utamanya. Melalui jalinan usahasama dengan Leica, telefon pintar ini menyediakan tri-kamera dengan satu kamera bersudut luas 40MP, kamera bersudut ultra-luas 16MP dan kamera telefoto 8MP. Tiada kamera swafoto disediakan pada Mate X memandangnkan fungsi berkenaan boleh diperoleh berdasarkan sifat lahiriahnya yang boleh dilipat.
Mate X juga dikuasakan oleh sebuah pek dwi-bateri yang menyediakan jumlah keseluruhan kapasitinya 4,500mAh. Ianya juga menyokong teknologi Huawei terbaru dalam pengecasan iaitu 55W Huawei SuperCharge yang membolehkan bateri sesebuah peranti dicas dari sifar ke 85 peratus dalam tempoh 30 minit.
Sebagai sebuah peranti 5G, status rangkaiannya bergantung dengan tahap penyediaan rangkaian 5G oleh syarikat-syarikat telco di seluruh dunia.
Pihak Huawei turut menyatakan Mate X bakal mula memasuki ke pasaran global sekitar pertengahan tahun 2019 ini dengan harga jualan €2,299, bersamaan lebih kurang RM10,626.













