Huawei Malaysia telah mengumumkan pelancaran akan datang bagi Huawei FreeClip 2, peranti audio yang merupakan pewaris kepada model fon telinga open-ear pertama mereka yang diperkenalkan pada tahun 2023.
Model terbaharu menjanjikan peningkatan dari segi keselesaan, kualiti bunyi, dan ciri-ciri pintar sambil mengekalkan rekaan yang sesuai untuk kegunaan harian.
Huawei FreeClip 2 menampilkan rekaan klip telinga terbuka dengan titian ‘Airy C-Bridge’ yang telah dikemaskini. Menurut Huawei, bentuk fizikal yang ringan ini memberikan padanan yang kemas namun hampir tidak terasa pada telinga. Lantas membolehkan pengguna menikmati muzik, menjawab panggilan, atau mengikuti kandungan audio sambil kekal peka terhadap keadaan sekeliling.
Peranti ini juga memperkenalkan pemproses AI yang telah dinaik taraf. Ia berfungsi untuk menyesuaikan output audio berdasarkan persekitaran semasa pengguna.
Teknologi ini digabungkan dengan pemacu dwi-diafragma (dual-diaphragm driver) yang bertujuan untuk menghasilkan vokal yang lebih jelas serta kualiti bunyi yang lebih kaya dalam pelbagai senario pendengaran.
Antara spesifikasi dan ciri utama Huawei FreeClip 2 termasuklah:
- Ketahanan: Penarafan IP57 untuk ketahanan terhadap air dan peluh.
- Kawalan: Sokongan kawalan gerak isyarat (gesture controls).
- Pengesanan Pintar: Pengesanan automatik bagi kedudukan fon telinga kiri dan kanan.
- Kesambungan: Sambungan pelbagai peranti yang lancar (seamless multi-device connectivity).
Walaupun spesifikasi bateri yang terperinci belum didedahkan, Huawei menjanjikan bahawa fon telinga ini menawarkan tempoh penggunaan yang panjang serta sokongan pengecasan pantas.
Butiran mengenai harga rasmi tempatan dan tarikh ketersediaannya masih belum diumumkan. Walau bagaimanapun, Huawei telah membuka tempahan bagi fon telinga open-ear baharu ini bermula dari 23 Disember sehingga 19 Januari 2026.
Anda yang berminat boleh meletakkan deposit sebanyak RM30 melalui laman web rasmi jenama tersebut atau di kedai pengalaman Huawei di seluruh negara. Turut disediakan tawaran hadiah percuma bernilai sehingga RM109 sepanjang tempoh tempahan.













