HONOR telah memperluaskan ekosistem peranti kecerdasan buatan (AI) mereka dengan membolehkan ketersambungan rentas platform (OS) bersama ekosistem Apple.
Inovasi baharu ini diperkenalkan bagi memecahkan tembok halangan antara platform. Sekali gus memudahkan pengguna memindahkan fail serta media antara peranti Android, iOS, dan Windows tanpa sebarang masalah keserasian.
Inisiatif strategik ini membolehkan pemindahan kandungan seperti imej, video, dan dokumen secara bebas antara telefon pintar, tablet, atau komputer riba HONOR dengan peranti iPhone, iPad, serta komputer Mac.
Untuk peranti mudah alih Apple, pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi Honor Connect melalui Apple App Store. Ia membolehkan perkongsian fail dilakukan dengan cekap, mengekalkan kualiti asal (lossless), dan tanpa menggunakan kuota data internet.
Bagi pengguna komputer Mac pula, perisian Honor WorkStation perlu dipasang untuk menikmati pemindahan fail yang lancar. Peranti baharu seperti HONOR Magic V6 merupakan satu-satunya telefon pintar pada masa ini yang mampu melakukan pemindahan terus (OneTap Transfer) bersama peranti Mac.
Antara spesifikasi dan ciri utama ketersambungan rentas platform ini termasuklah:
- Kelajuan Pemindahan Pantas: Mampu mencapai kelajuan sehingga 85 Mbps apabila berkongsi dengan peranti iOS dan 40 Mbps untuk peranti Android.
- Sokongan Sentuhan NFC (One-Tap to Share): Pemindahan pantas antara peranti HONOR dan iPhone (iOS 17.0 ke atas) hanya dengan satu sentuhan menggunakan sambungan NFC.
- Ketersambungan Berbilang Peranti: Menokong penyepaduan ekosistem sepenuhnya yang merangkumi telefon pintar, tablet, dan komputer riba.
- Rangkaian Rentas Jenama Android: Menerusi penyertaan dalam Mutual Transfer Alliance (MTA), pengguna turut boleh membuat pemindahan fail bersama jenama Android lain seperti Xiaomi, OPPO, dan vivo.
Langkah rintis oleh HONOR ini menetapkan penanda aras baharu dalam pengalaman perkongsian fail digital. Pengguna kini lebih bebas untuk menggunakan peranti tanpa terikat dengan satu platform sahaja. Lantas meningkatkan produktiviti dan kelancaran kerja harian.












