HONOR secara rasminya memperkenalkan HONOR Magic V6. Telefon pintar boleh lipat baharu berkesinambungan dari Magic V5 ini diperkenalkan bersempena dengan acara Mobile World Congress (MWC) 2026.
Ia menampilkan rekaan badan yang sangat nipis, kapasiti bateri 6,660mAh yang luar biasa besar untuk kelasnya. Turut disertakan piawaian ketahanan tahap tinggi melalui penarafan kalis air dan debu IP68 serta IP69.
Peranti boleh lipat gaya buku (book-style foldable) ini direka dengan profil nipis berukuran 8.75mm apabila ditutup. Ketebalannya menjadi hanya 4mm apabila dibuka sepenuhnya.
Dari segi berat, model berwarna putih direkodkan pada 219 gram. Bagi meningkatkan ketahanannya, HONOR telah melengkapkan telefon pintar ini dengan engsel keluli yang dinaik taraf. Ia terbukti melepasi ujian ketahanan sehingga 500,000 kitaran lipatan dan bukaan.
Menurut HONOR, penawaran bateri karbon-silikon baharu ini dicipta dengan kerjasama jenama ATL. Bateri ini dikatakan menampilkan kandungan silikon sebanyak 25 peratus. Ia menjanjikan ketumpatan tenaga yang lebih tinggi bagi merealisasikan peranti lipat yang nipis.
Berikut adalah senarai spesifikasi dan ciri utama HONOR Magic V6:
- Pemproses Berkuasa: Dikuasakan oleh cipset andalan terkini, Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen 5, digandingkan bersama memori RAM 16GB (LPDDR5X) dan storan berkelajuan tinggi 512GB (UFS 4.1).
- Kualiti Paparan: Skrin luaran bersaiz 6.52 inci menyokong resolusi 2,420 x 1,080 piksel dengan kecerahan puncak mencapai 6,000 nits . Paparan dalaman pula bersaiz 7.95 inci dengan resolusi 2,352 x 2,172 piksel dan kecerahan puncak 5,000 nits.
- Skrin Fleksibel Premium: Kedua-dua skrin menggunakan panel LTPO 2.0 AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz . Panel kaca anjal di bahagian dalam turut mempamerkan pengurangan kedalaman kesan lipatan (crease) sebanyak 44 peratus.
- Kapasiti Bateri Luar Biasa: Menampilkan bateri 6,660mAh berserta sokongan pengecasan pantas berwayar 80W, pengecasan tanpa wayar 66W, serta fungsi pengecasan wayarles berbalik.
- Keupayaan Fotografi: Mengekalkan sistem kamera yang kukuh dengan lensa utama 50MP, lensa telefoto periskop 64MP, dan lensa sudut ultra-lebar (ultrawide) 50MP dengan bukaan f/2.2 . Turut dimuatkan adalah lensa swafoto 20MP di kedua-dua skrin luar dan dalam.
- Sistem Operasi dan Perisian: Peranti ini beroperasi pada platform MagicOS 10 yang berasaskan Android 16 . HONOR turut menjanjikan sokongan jangka panjang dengan tujuh kemas kini versi sistem operasi (OS) utama, selain peningkatan fungsi sambungan rentas platform bersama peranti Apple.
Sungguhpun HONOR Magic V6 telah membuat penampilan sulung di MWC awal tahun ini, telefon pintar lipat ini dijadualkan memasuki pasaran China terlebih dahulu pada bulan ini.
Untuk pasaran global yang lain mungkin perlu menunggu sekurang-kurangnya sehingga separuh kedua tahun 2026. Lebih kurang sama dengan pelancaran siri model HONOR tersebut sebelum ini.













