HONOR telah memperkenalkan telefon pintar boleh lipatnya, Magic V3 di pasaran China pada bulan lepas dan dijanjikan akan dilancarkan ke pasaran antarabangsa tidak lama lagi.

Baru-baru ini, terdapat sumber yang menyatakan telefon pintar mercu keluaran HONOR ini akan hadir dengan tiga warna pilihan – Hijau, Hitam dan Merah. Magic V3 juga akan hadir dengan pilihan warna Putih, namun dikatakan ia hanya eksklusif untuk pasaran China.

Sebelum ini, HONOR hanya menawarkan dua warna pilihan untuk varian pasaran antarabangsanya iaitu Ungu dan Hitam pada HONOR Magic V2 yang menemui pengguna di Malaysia pada awal tahun ini.

Magic V3 mempunyai rekaan yang amat menonjol dengan ruangan bonggol kameranya yang berbentuk oktagon. Bergantung pada warna pilihannya, gegelung di sekitarnya berwarna kelabu untuk warna Hijau dan Hitam. Manakala untuk warna Merah yang diinspirasikan dari budaya dan rekabentuk tradisi China mempunyai gegelung berwarna keemasan dengan kemasan kulit buatan berwarna merah pada permukaan belakangnya.

Bagaimanapun, HONOR Magic V3 dijangka akan hadir dengan spesifikasi yang lebih padu dengan pemprosesan Snapdragon 8 Gen 3, dua paparan OLED yang cerah serta bateri berkapasiti 5,150mAh dengan ketebalan hanya 4.4mm apabila dibuka lipatannya.

Apa pun kita tunggu dan lihat perkembangan terkini telefon pintar boleh lipat baharu ini ke pasaran tempatan daripada HONOR Malaysia.

Tinggalkan komentar