Kerajaan Perancis mengumumkan langkah drastik untuk menghentikan penggunaan perisian persidangan video asing seperti Microsoft Teams, Zoom, Webex, dan GoTo di seluruh sektor awam.
Sebagai ganti, pentadbiran negara tersebut akan memperluaskan penggunaan “Visio”. Ia merupakan platform mesyuarat maya berdaulat yang dibangunkan oleh kepakaran tempatan. Platform komunikasi bersepadu disasarkan untuk kegunaan agensi-agensi kerajaan menjelang tahun 2027.
Langkah strategik ini bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap perisian luar Eropah dan melindungi data sensitif kerajaan.
Keputusan ini dibuat susulan percubaan selama setahun dan merupakan sebahagian daripada strategi kedaulatan digital Perancis.
Buat masa ini, agensi-agensi kerajaan menggunakan campuran platform komersial yang berbeza. Sebahagian besar pegawai kerajaan berpandangan ia boleh mengundang risiko keselamatan, isu kesalinghubungan antara jabatan, dan juga peningkatan kos.
Platform Visio, yang dibangunkan oleh Direktorat Antara Kementerian untuk Digital (DINUM) dengan kerjasama agensi keselamatan siber Perancis (ANSSI), dijangka akan menggantikan perisian-perisian asing ini dengan infrastruktur nasional yang standard.
Usaha Perancis ini dilihat sebagai perubahan besar dalam polisi teknologi Eropah yang semakin mengutamakan kawalan terhadap infrastruktur digital sendiri. Perubahan kini beralih dari penggunaan solusi daripada gergasi teknologi Amerika Syarikat.













