Sungguhpun telefon pintar Samsung Galaxy A80 telah pun diumumkan sejak dari April lalu, hanya baru beberapa hari ini sahaja Samsung melancarkannya ke pasaran-pasaran terpilih di seluruh dunia. Secara rasminya, keberadaan telefon pintar ini di Malaysia masih lagi belum diumumkan, namun beberapa penjual tempatan mungkin mempunyai beberapa maklumat yang masih lagi belum diumumkan oleh Samsung.
Menurut DirectD yang kini sudah mula membuka pra-tempahan Galaxy A80, telefon pintar ini ditawarkan pada RM2,499. Tarikh dijangka tiba di pasaran, penjual berkenaan menyatakan ianya bakal hadir pada 13 Julai ini.
Semakan melalui gedung atas talian Shopee dan Lazada menunjukkan lebih banyak penjual-penjual yang mula mengambil pra-tempahan dengan harga yang sama.
Dilengkapkan dengan paparan HD+ Penuh Super AMOLED 6.7-inci, Galaxy A80 dikuasakan oleh Snapdragon 730 bersama-sama RAM 8GB dan storan dalaman 128GB. Telefon pintar ini juga hadir dengan kamera berkonfigurasi tri-kamera yang boleh diputarkan lengkap dengan tiap satunya masing-masing dengan lensa 48MP, 8MP bersudut ultra luas dan 3D TOF. Melengkapkannya sebuah bateri berkapasiti 3,700mAh bagi menampung keperluan bekalan kuasanya.
Pengumuman rasmi mengenai Galaxy A80 untuk pasaran Malaysia dijangka bakal dikeluarkan dalam masa yang terdekat ini.
Sumber berita diperoleh dari Facebook DirectD













