Kerajaan menetapkan harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi pada RM2.60 seliter berkuat kuasa 30 September 2025 dan akan dikekalkan sepanjang bulan Oktober sebelum sistem apungan harga mengikut pasaran global dilaksanakan secara mingguan mulai November ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata penetapan harga tersebut memberi ruang kepada rakyat menyesuaikan diri dengan perubahan sistem harga bahan api sebelum mekanisme apungan bermula.
“Harga petrol RON95 tanpa subsidi akan dikekalkan selama sebulan. Selepas tempoh itu, ia akan diapungkan mengikut pergerakan harga pasaran minyak mentah dunia dengan penetapan harga dibuat secara mingguan,” katanya.
Beliau berkata sistem penetapan harga mingguan itu akan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM) bagi memastikan harga mencerminkan kos sebenar bahan api di pasaran global.
Penetapan harga RM2.60 seliter ini berlaku serentak dengan pelaksanaan program penyasaran subsidi petrol BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang mula berkuat kuasa pada tarikh sama.
Di bawah BUDI95, warganegara Malaysia yang layak akan menerima harga petrol bersubsidi pada kadar RM1.99 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM2.60 seliter, memberikan penjimatan sebanyak 61 sen bagi setiap liter.
Sebelum ini, harga siling RON95 berada pada paras RM2.05 seliter sejak Februari 2021.
Bagi bahan api lain, harga runcit untuk tempoh 30 September hingga 8 Oktober 2025 kekal seperti berikut: RON97 pada RM3.21 seliter, Diesel di Semenanjung Malaysia pada RM2.93 seliter manakala Diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pada RM2.15 seliter.
Kementerian Kewangan dalam kenyataannya turut memaklumkan kerajaan sedang bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan pengendali bot di Sabah dan Sarawak turut layak menerima manfaat harga bersubsidi melalui BUDI95.
Pelaksanaan sistem apungan harga secara mingguan selepas Oktober merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan beralih kepada sistem subsidi yang lebih bersasar bagi menjaga kebajikan rakyat dan mengurangkan beban fiskal negara.