Google kini dilaporkan sedang mengusahakan sebuah sistem operasi terbaru yang menggunakan nama kod, “Fuchsia” buat masa ini. Tidak banyak yang diketahui tentang sistem operasi berkenaan, namun kod-kod yang diketahui sudah memadai untuk dikompilkan sebagai sebuah APK yang berfungsi.

Ars Technica cuba mencungkil sebarang maklumat berkenaan “Fuchsia” dan didapati ia kelihatan seperti sistem operasi peranti mudah alih yang tidak menggunakan kernel Linux. Ini berikutan ia dibina berasaskan kernel mikro buatan Google yang dikenali sebagai “Magenta” serta turut diperkemaskan dengan antaramuka berasaskan kad yang baru yang digelar sebagai “Armadillo”. Pun begitu, segala info yang dicungkil ini tidak lebih sekadar telahan dan tidak mustahil ianya tidak akan berlaku pada masa akan datang.

Armadillo dilihat amat berbeza dengan apa yang kita ketahui tentang sistem operasi peranti mudah alih pada ketika ini. Kad-kad pada antaramukanya boleh diseret-seret ke sana ke mari dan apabila kita mengheretkannya pada sebelah atas kad berkenaan, ia secara automatik akan membuka pilihan paparan terbahagi yang seterusnya membolehkan pelbagai tetingkap dibuka dalam satu-satu masa.

Setakat ini, ia tidak memaparkan sebarang kandungan di dalamnya dan tidak dapat dipastikan bagaimana ianya akan bertindak balas di antara aplikasi-aplikasi kelak. Cuma, ia dapat memberikan gambaran apakah perancangan Google untuk menyediakan antaramuka yang sesuai dengan keperluan peranti mudah alih pada masa hadapan.

Pembangun Fuchsia, Travis Geiselbrecht memaklumkan melalui saluran umum IRC Fuchsia bahawa projek ini bukanlah projek sampingan Google. Ini membayangkan lebih banyak fungsi baru akan diwujudkan sepanjang proses pembangunan projek dijalankan.

Sumber berita diperoleh dari Ars Technica

Tinggalkan komentar