Google telah dilaporkan meraih pendapatan berjumlah $11.2 bilion (~RM46.98 bilion) pada tahun 2019. Maklumat ini pertama kali didedahkan kepada orang ramai berikutan kes perbicaraan yang sedang dijalankan di mahkamah.
Sebelum ini Google tidak pernah menyatakan keuntungan sebenarnya yang diraih dari gedung aplikasi mereka yang didatangkan bersama-sama peranti Android.
Jumlah keseluruhan pendapatan yang dinyatakan ini merangkumi penjualan aplikasi, pembelian dalam aplikasi dan juga pengiklanan di gedung berkenaan. Menurut laporan dari Reuters, Google telah mengambil 30% dari hasil jualan kandungan digital melalui Google Play Store.
Kes yang dibawa ke mahkamah melibatkan Google ini disebabkan oleh tindakan beberapa pembangun aplikasi mudah alih. Antara yang membawakannya, Epic Games tidak berpuas hati dengan potongan 30% yang dikenakan kerana dianggap terlalu tinggi. Serta beberapa tindakan yang menimbulkan persoalan sama ada boleh menyebabkan situasi anti persaingan.
Bagaimanapun, Google menyatakan hujah balas bahawa pengguna tidak semestinya terikat menggunakan perkhidmatan yang telah ditawarkannya. Pengguna mempunyai kebebasan untuk menggunakan gedung aplikasi lain dan juga kaedah pembayaran lain.













