Tujuh bulan selepas Pixel 6 dan Pixel 6 Pro dilancarkan, Google pada hari ini telah memperluaskan penawaran siri Pixel 6 melalui Pixel 6a. Model ini merupakan pilihan peringkat pemula bagi siri telefon pintar ini.

Boleh dipra-tempah bermula pada Julai ini, Pixel 6a kelihatan hampir sama dengan model berspesifikasi yang lebih tinggi sebelumnya. Bezanya, Pixel 6a mempunyai skrin OLED yang lebih kecil iaitu 6.1-inci.

Pun begitu, ia masih lagi dilengkapkan dengan pemprosesan Google Tensor dan pemprosesan bersama keselamatan Titan M2. Untuk memori dan storannya, telefon ini menyediakan RAM 6GB dan storan dalaman 128GB.

Skrin Pixel 6a masih lagi menawarkan resolusi Full HD seperti Pixel 6, namun tidak menyediakan sokongan Smooth Display dan hanya terhad pada kadar 60Hz sahaja. Untuk perlindungan skrinnya, Pixel 6a menawarkan kaca Gorilla Glass 3.

Google juga memilih untuk menggunakan sensor lebih rendah resolusinya 12.2MP untuk kamera utamanya yang menampilkan lensa f/1.7 bersama-sama penstabil imej optikal dan elektronik. Model baharu ini juga mempunyai kamera ultralebar 12MP dan kamera swafoto 8MP sama seperti Pixel 6.

Kapasiti baterinya pula adalah sebanyak 4,410mAh yang menurut Google mampu menawarkan tempoh hayat purata sekitar 29 jam dan mampu ditingkatkan sehingga 72 jam melalui mod Extreme Battery Saver baharu. Telefon ini juga mempunyai sokongan pengecasan pantas sehingga 18W. Walaubagaimanapun, tiada sokongan pengecasan nirwayar disediakan. Selain itu, pengguna juga perlu membeli pengecasnya secara berasingan kerana ia tidak disertakan bersama-sama pembelian telefon ini.

Sungguhpun Pixel 6a diperkenalkan sebagai telefon peringkat pemula di dalam siri Pixel 6, harga yang ditawarkannya masih lagi dianggap tinggi. Di Amerika Syarikat, Google Pixel 6a dijual pada harga USD449 (~RM1,968).

Tinggalkan komentar