Google telah memperluaskan penawaran perkhidmatan langganannya di pasaran tempatan dengan memperkenalkan Google One Lite. Pelan peringkat permulaan baharu ini ditawarkan pada harga RM3.50 sebulan.

Langkah ini memberi pilihan yang lebih ekonomik kepada pengguna yang memerlukan sedikit ruang tambahan berbanding pelan Asas (Basic) sedia ada.

Pelan Google One Lite ini menawarkan storan awan sebanyak 30GB. Dua kali ganda dari jumlah 15GB yang diberikan secara percuma kepada setiap akaun Google.

Pengguna boleh berkongsi storan ini merentasi perkhidmatan Google Drive, Google Photos, dan Gmail, yang merangkumi dokumen, lampiran e-mel, dan sandaran gambar.

Bagi pengguna yang berminat dengan komitmen jangka panjang, Google turut menawarkan langganan tahunan pada harga promosi RM35.

Harga tahunan ini akan meningkat kepada RM42 setelah tempoh promosi tamat. Sebagai perbandingan, pelan Google One Basic bermula pada harga RM8.49 sebulan untuk 100GB. Seterusnya menjadikan pelan Lite ini lebih sesuai untuk keperluan storan ringan dan bukan untuk sandaran media yang besar.

Dari segi ciri tambahan, Google One Lite hanya menyediakan storan tambahan bersama perkhidmatan AI asas, serupa dengan akaun Google percuma.

Pelan ini tidak menyertakan akses kepada ciri AI canggih seperti Gemini, alatan NotebookLM yang diperluas, atau keupayaan penjanaan video Veo 3.1 yang terdapat pada pelan yang lebih tinggi.

Antara spesifikasi utama pelan Google One Lite adalah:

  • Harga Bulanan: RM3.50
  • Harga Tahunan: RM35 (Promosi), RM42 (Harga Biasa)
  • Kapasiti Storan: 30GB
  • Kegunaan: Google Drive, Gmail, Google Photos
  • Ketersediaan Ciri AI: Terhad (Tiada akses Gemini Advanced atau Veo 3.1)

Pengguna di Malaysia kini mempunyai lebih banyak variasi pilihan langganan bermula dari Lite (30GB), Basic (100GB), Standard (200GB), hingga ke pelan Premium dan AI Pro yang menawarkan storan sehingga 2TB berserta ciri AI termaju.

Tinggalkan komentar