Terdapat laporan pada bulan lepas yang mendakwa telefon pintar siri Galaxy S25 akan menerima akses ke Google Gemini Advanced secara percuma. Baru-baru ini pula, terdapat laporan yang mendakwa Gemini boleh mengakses ke data daripada aplikasi-aplikasi Samsung yang kebiasaannya tersedia di dalam telefon pintar keluarannya.

Dakwaan ini hadir daripada pentiris maklumat @chunvn8888 di X (dahulu dikenali sebagai Twitter) melalui sebuah hantaran yang mengandungi tangkapan layar. Aplikasi Samsung yang dimaksudkan merangkumi Calendar, Notes, dan Reminder.


Ia diterangkan sebagai perlanjutan untuk Google Gemini, dan kebenaran perlanjutan bagi setiap aplikasi untuk membolehkannya dihidupkan atau dimatikan secara individu. Berdasarkan jawapan balas yang diberikan di untaian tersebut, pentiris berkenaan menyatakan terdapat lebih banyak lagi aplikasi yang menerima integrasi berkenaan, namun tidak menamakannya secara jelas.

Jika dakwaan ini benar, pengguna telefon pintar siri Galaxy S25 kelak akan menikmati pilihan menggunakan teknologi AI generatif yang lebih besar. Ia juga kemungkinan akan diperluaskan kepada pengguna-pengguna peranti Galaxy sebelumnya menerusi kemaskini yang akan datang.

Ini berdasarkan integrasi yang tersedia pada aplikasi Notes buat masa ini yang menggunakan Galaxy AI untuk membuat ringkasan, terjemahan, semakan gaya bahasa dan tatabahasa, serta penjanaan teks.

Apa pun, khabar angin ini masih lagi belum dapat dipastikan kesahihannya sehinggalah acara Galaxy Unpacked dilangsungkan. Pada tahun lepas Galaxy AI menjadi tumpuan utama dan untuk tahun ini pula Samsung mungkin memberikan pengkhususan yang sama atau boleh jadi, lebih besar berbanding tahun lepas.

Tinggalkan komentar