Google Doodle terkini meraikan Azah Aziz, seorang tokoh yang dikenali melalui karya penulisan, perjuangan hak wanita dan usaha beliau memelihara budaya Melayu terutamanya berkaitan tektil dan busana.

Lebih mesra dikenali sebagai Mak Ungku, beliau lahir pada 21 Ogos 1928. Ibu beliau, Azizah Jaafar merupakan seorang dari keluarga yang masyhur di Johor dan juga pelopor pengajian bidang sains tempatan. Sebahagian dari minat mendalam beliau terhadap bahasa dan budaya Melayu datangnya dari koleksi pakaian Melayu yang diwarisi dari ibu beliau dan juga perkahwinan dengan Profesor DiRaja Ungku Abdul Aziz.

Pada tahun 1957, beliau melakukan kerja kesetiausahaan di bawah Pendita Za’aba yang seterusnya membentuk minat beliau dalam penulisan dan kesusasteraan. Beliau kemudiannya menjadi setiausaha Ketua Editor akhbar Straits Times pada ketika itu, Leslie Hoffman.Azah Aziz Tokoh Budayawan Melayu

Ketika Berita Harian baru dibentuk, beliau memulakan kerjaya sebagai wartawan yang mengetuai bahagian wanita selama dua tahun. Bakat beliau di dalam bidang tersebut terus berkembang apabila memberikan peluang menemuramah tokoh-tokoh terkenal di seluruh dunia seperti bekas Perdana Menteri India Indira Gandhi, petinju lagenda Muhammad ali dan kosmonaut wanita pertama dunia ke angkasa lepas Valentina Nikolayeva-Tereshkova.

Rentetan dari itu, Azah Aziz juga merupakan  pengasas Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) dan menjadi presiden pertamanya (1971-1978). Beliau juga antara pengasas Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi), sebuah pertubuhan kebajikan untuk menangani kebajikan dan keperluan wanita serta kanak-kanak.

Selaku tokoh budayawan Melayu, beliau juga sering memberikan syarahan budaya Melayu di dalam festival seni dan seminar antarabangsa. Melalui syarikat penerbitan beliau sendiri Akaz, beliau menjadi antara salah seorang wanita Malaysia pertama yang menerbitkan buku-buku puisi, permainan dan lagu untuk kanak-kanak. Azah Aziz juga diangkat sebagai Tokoh Wanita Johor pada 1992, selain turut dinamakan sebagai Tokoh Budayawan Melayu.

Tinggalkan komentar