Google dilaporkan sedang membangunkan sebuah ciri baharu untuk Android yang fungsinya sangat mirip dengan ciri NameDrop oleh Apple.

Ciri yang ditemui dalam versi Google Play Services ini, buat masa ini dikenali sebagai “Gesture Exchange”. Ia  membolehkan pengguna berkongsi maklumat kenalan dengan hanya mendekatkan telefon pintar mereka antara satu sama lain.

Ini merupakan langkah Google untuk menyaingi fungsi serupa yang telah diperkenalkan oleh Apple pada tahun 2023 melalui iOS 17.​

Menurut laporan, ciri ini ditemui dengan nama “Gesture Exchange” dan turut mengandungi aktiviti yang dinamakan “Contact Exchange”. Fungsi ini disahkan menggunakan teknologi Komunikasi Medan Dekat (NFC) untuk memulakan proses hubungan dan pemindahan data antara dua peranti.

Walaupun pembangunan pada masa ini lebih tertumpu kepada perkongsian kenalan, Google berpotensi untuk menambah keupayaan perkongsian fail pada masa akan datang.​

Berdasarkan tangkapan skrin yang tertiris, antaramuka ciri ini menunjukkan beberapa fungsi utama:​

  • Pengguna boleh memilih butiran spesifik untuk dikongsi, seperti gambar profil, nombor telefon, dan alamat e-mel.​
  • Terdapat pilihan “Receive only” (Terima sahaja) yang membolehkan pengguna menerima maklumat tanpa berkongsi butiran peribadi mereka.​
  • Selepas menerima maklumat kenalan, pengguna boleh menyimpannya dengan satu sentuhan, atau terus membuat panggilan video dan menghantar mesej teks melalui butang pintas yang disediakan.​

Pembangunan ciri “Gesture Exchange” ini dilaporkan masih berjalan dan mungkin memerlukan sedikit masa lagi sebelum ia dilancarkan secara rasmi kepada semua pengguna Android. Ada kemungkinan Google akan memilih nama yang lebih mesra pengguna dan komersial apabila ia dilancarkan kelak.

Tinggalkan komentar