Permainan komputer (computer games) berasaskan strategi sangat bagus untuk perkembangan otak anda. Kajian yang diterbitkan di dalam jurnal PLOS ONE menunjukkan bahawa pemain games (gamers) mendapat manfaat dari hobi mereka ini kerana bermain games dapat meningkatkan kelajuan otak.

“Kajian kami menunjukkan bahawa kelenturan kognitif (cognitive flexibility), salah satu ciri unik kebijaksanaan manusia, bukanlah sesuatu yang statik dan ia boleh dilatih dan dipertingkatkan menggunakan alatan pembelajaran yang menyeronokkan seperti bermain games (Our paper shows that cognitive flexibility, a cornerstone of human intelligence, is not a static trait but can be trained and improved using fun learning tools like gaming),” ujar penyelidik Dr. Brian Glass dari Fakulti Sains Kimia dan Biologi, Universiti Queen Mary, London.

Seramai 72 orang sukarelawan telah terlibat dalam menjayakan kajian yang melibatkan judul permainan video seperti Starcraft dan The Sims merangkumi tempoh 40 jam sepanjang enam hingga lapan minggu.

Para penyelidik mendapati para pemain yang bermain permainan StarCraft menunjukkan peningkatan di dalam ujian psikologi sepanjang tempoh penyelidikan. Para pemain games tersebut menunjukkan kepantasan dan kejituan di dalam tugasan yang melibatkan kelenturan kognitif, di mana mereka lebih pantas menyesuaikan diri selepas menyiapkan dari satu tugasan ke satu tugasan yang lain berbanding pemain yang bermain The Sims. Pendek kata, bermain game dapat meningkatkan keupayaan pembelajaran seseorang.

Selain itu, penyelidik mendapati para pemain games yang bermain permainan yang lebih kompleks lebih bagus prestasinya di dalam ujian psikologi yang diberikan.

Permainan video juga turut memberikan manfaat dalam bentuk lain berdasarkan satu kajian lain yang pernah dilakukan oleh University of Padua. Ia dapat membantu kanak-kanak yang mengalami disleksia. Permainan berunsur aksi dapat meningkatkan kepantasan dan kejituan kemahiran membaca di kalangan kanak-kanak disleksia.

Malah, Fakulti Perubatan University of Texas di Galveston mendapati pemain-pemain games peringkat remaja sekolah tinggi mampu melakukan simulasi pembedahan maya dengan baik sebagaimana yang dilakukan oleh pelajar-pelajar jurusan perubatan yang lain.

Permainan video hari ini walaupun mampu mendatangkan ketagihan jika tidak dikawal, ia masih mendatangkan manfaat kepada pengguna andai ianya digunakan berpada-pada. Lagipun, permainan strategi seperti Starcraft, Warcraft dan siri Command and Conquer banyak membantu pelajar-pelajar IPT di Malaysia belajar mengimplementasikan strategi-strategi untuk kehidupan harian. Ia jauh lebih berkesan dari buku teks dan syarahan yang berjela-jela.

3 KOMEN

Tinggalkan komentar