Foto nyata yang didakwa sebagai model Ultra dari siri Xiaomi 15 telah pun muncul di arena web. Dikongsikan oleh pengguna media sosial X (dahulu dikenali sebagai Twitter) That_Kartikey, peranti berkenaan kelihatan mirip dengan model sebelumnya dengan beberapa perbezaan.
Salah satunya, ruangan kameranya sama besar dengan Xiaomi 14 Ultra, namun menampilkan tatasusunan baharu untuk sensor, lampu flash LED, dan jenama Leica.
Selain tiu, rekaan kerangkanya juga telah dikemaskini dengan tidak lagi sampai ke panel belakang seperti model sebelum ini. Ruangan kameranya juga menampilkan gegelang merah di sekelilingnya serta panel belakang yang menampilkan kemasan hitam bertekstur.
Walaupun masih belum jelas sama ada peranti di dalam gambar tersebut sememangnya Xiaomi 15 Ultra, sebuah penerbitan di China IThome melaporkan rakan kongsi Xiaomi dan Presiden Lu Weibing telah mengesahkan varian mercu ini akan diumumkan secara rasminya selepas Tahun Baru Cina.
Desas-desus juga mengatakan pelancaran global peranti ini mungkin diadakan pada Persidangan Mudah Alih Sedunia (Mobile World Congress, MWC) tahun ini di Barcelona yang dijadualkan berlangsung awal Mac.
Xiaomi 15 Ultra dikatakan akan menampilkan kamera telefoto periskop 200MP, kamera telefoto jarak pendek 50MP, sensor utama 1-inci, dan kamera ultra-lebar 50MP. Ia juga dilaporkan akan dikuasakan oleh pemprosesan Snapdragon 8 Elite dengan dioperasikan oleh Android 15 melalui antaramuka Xiaomi HyperOS 2. Telefon pintar ini juga dijangka akan mempunyai bateri berkapasiti 6,000mAh dengan sokongan pengecasan berwayar 90W, dan pengecasan nirwayar 50W.