Belia-belia di Malaysia tidak lama lagi bakal menerima kredit eWallet RM200 di bawah program eTunai Belia Rahmah. Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika sesi soal jawab di Parlimen menyatakan kredit RM200 kepada belia akan diagihkan sebelum minggu ketiga bulan ini. Ini bermakna, belia yang layak boleh mendapatkan kredit masing-masing seawal hujung minggu ini.

Selain kredit eWallet RM200, pihak kerajaan juga akan mengagihkan Sumbangan Tunai Rahmah kepada penerima B40 yang layak sebelum perayaan Aidiladha.

Menurut Perdana Menteri, peruntukan sebanyak RM2 billion ini akan memberikan manfaat kepada sejumlah 8 juta penerima di seluruh negara. Sebanyak RM3 billion diperuntukan di dalam fasa pertama dan kedua Sumbangan Tunai Rahmah yang melibatkan lebih dari 8.7 juta penerima, selain turut merangkumi bantuan tunai khas kepada 1.3 juta penjawat awam dan lebih dari 1 juta pesara kerajaan.

Program eWallet RM200 untuk belia ini diumumkan ketika sesi pembentangan semakan semula Belanjawan 2023. Ketika itu, ia hanya dikhususkan kepada belia berusia 18-20 tahun dengan peruntukan sebanyak RM400 juta melibatkan kira-kira 2 juta penerima individu. Program eWallet ini kemudiannya dikemaskini dengan melibatkan pelajar-pelajar universiti.

Penerima yang layak menerima eTunai Belia Rahmah RM200

Menurut Menteri Kewangan, eTunai Belia Rahmah ditawarkan kepada rakyat Malaysia berusia 18 hingga 20 tahun pada tahun 2023. Program ini juga ditawarkan kepada pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi di Malaysia seperti berikut:

  • Kolej Komuniti
  • Politeknik
  • Universiti Awam / Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA)
  • Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS)
  • Pelajar di institusi pendidikan setara dengan Tingkatan 6
  • Senior Middle 3
  • Pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)
  • Pelajar Diploma Kolej Vokasional
  • Diploma dan setara dengan TVET
  • Pengajian Asasi / Asasi A-Level
  • International Baccalaureate Diploma
  • Australian Matriculation (AUSMAT) Diploma
  • Diploma Lanjutan
  • Ijazah dan setara
  • Master dan setara
  • Doktor falsafah dan setara
  • Kursus Profesional di peringkat diploma dan ke atas yang diiktiraf oleh Kerajaan atau Badan Profesional Malaysia

Buat masa ini Menteri Kewangan masih lagi belum menyediakan perincian mengenai program eTunai Belia Rahmah termasuk senarai eWallet yang layak. Kemungkinan program ini akan menyokong kebanyakan eWallet utama seperti Touch ‘n Go eWallet, Grab, Boost, BigPay dan ShopeePay.

Tinggalkan komentar