Perjalanan kereta api antara Kuala Lumpur dan Johor Bahru kini akan menjadi lebih pantas dengan pengenalan perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) generasi ketiga, atau ETS3. Ia dijangka memendekkan masa perjalanan kepada kira-kira 4.5 jam.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memulakan operasi perkhidmatan ini susulan siapnya Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (Gemas-JB EDTP) pada 12 Disember 2025. Inisiatif ini menandakan berakhirnya era perjalanan tujuh jam menggunakan tren diesel konvensional di laluan selatan.​

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan mencemar duli merasmikan landasan rel berkembar itu di Stesen Kempas Baru, Johor Bahru yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jaringan Landasan yang lebih lengkap

Projek infrastruktur bernilai RM9.5 bilion ini melengkapkan jaringan landasan berkembar elektrik dari Padang Besar di utara hingga ke Johor Bahru di selatan.

Laluan sepanjang 192km ini menghubungkan stesen utama seperti Segamat, Kluang, dan Kulai sebelum berakhir di JB Sentral. Pengenalan ETS3 bukan sahaja meningkatkan kesalinghubungan malah menawarkan alternatif pengangkutan yang lebih efisien berbanding memandu atau menaiki bas ekspres yang sering terjejas akibat kesesakan lalu lintas.​

“Dengan kelajuan 140 kilometer sejam, perjalanan guna ETS dari Johor Bahru ke KL Sentral hanya ambil masa empat jam setengah, menjadikan keseluruhan masa perjalanan dari Johor Bahru ke Padang Besar, Perlis kira-kira 10 jam setengah,” Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, semasa berucap majlis pelancaran tren tersebut.

Beliau turut menekankan bahawa kerjasama berkualiti tinggi antara Malaysia dan China dalam bidang pengangkutan rel telah membawa manfaat besar kepada kedua-dua negara.​

Berikut adalah spesifikasi dan ciri utama tren ETS3 (Kelas 94) yang baharu:

  • Kelajuan Operasi: Mampu mencapai kelajuan sehingga 160 km/j.​
  • Kapasiti: 6 gerabak dengan jumlah 312 tempat duduk (276 Standard, 36 Kelas Perniagaan).​
  • Keselamatan: Dilengkapi sistem bateri berkapasiti tinggi yang membolehkan sistem pengudaraan dan pencahayaan kecemasan berfungsi selama 2 jam tanpa bekalan elektrik talian atas.​
  • Fasiliti Penumpang: Sambungan WiFi, port pengecasan USB, kafeteria, surau, dan ruang bagasi yang luas.​
  • Sistem Pintar: Sistem bantuan pemandu pintar untuk analisis persekitaran laluan dan strategi pemanduan yang lebih ekonomi.​

Pelancaran perkhidmatan ETS3 KL-Johor Bahru ini dijangka merancakkan lagi sektor pelancongan dan ekonomi di selatan tanah air dengan memudahkan mobiliti rentas negeri. Perkhidmatan ini juga menawarkan masa perjalanan yang dipendekkan secara signifikan, seterusnya menjadi pilihan perjalanan yang lebih selesa dan produktif, terutamanya bagi golongan profesional dan pelancong yang ingin mengelakkan kesesakan jalan raya.

Tinggalkan komentar