Ethernet Technology Consortium (ETC) baru-baru ini telah mengumumkan standard baru 800 Gigabit Ethernet (GbE). Standard baru ini memperkenalkan kawalan akses media (media access control, MAC) dan sub-baris pengekodan fizikal (physical coding sublayer, PCS).

Secara teknikalnya, 800GbE menggunakan lapan laluan 106Gb/s untuk menghubungkannya ke sebuah MAC tunggal. Kelajuan 800Gb/s boleh dicapai menerusi dua PCS 400Gb/s yang telah diubahsuai.

Apa yang perlu diketahui adalah standard baru 800GbE ini tidak akan hadir pada pengguna-pengguna harian di rumah dalam masa yang terdekat ini. Hal ini kerana, hampir kebanyakan PC dan laptop model semasa menyokong LAN 1GbE dan hanya segelintir sahaja yang menyokong kelajuan 10GbE.

Pengumuman berkenaan standard baharu ini juga telah membawa kepada perubahan nama Ethernet Technology Consortium (ETC). Sebelum ini, ETC secara rasminya dikenali sebagai 25 Gigabit Ethernet Consortium bagi tujuan pembangunan sambungan 25, 50, dan 100Gbps. Perubahan nama ini juga selaras dengan hala tuju konsortium tersebut yang kini memfokuskan pada teknologi Ethernet yang lebih pantas.

Maklumat lanjut mengenai spesifikasi teknikal standard 800GbE boleh diperolehi melalui laman rasmi ETC.

Tinggalkan komentar