Liga Perdana Inggeris (English Premier League, EPL) sedang membuat perancangan untuk memulakan semula musimnya pada minggu ini. Inisiatif untuk memulakan semula EPL ini dinamakan sebagai “Projek Restart.”
BBC melaporkan kelab-kelab utama seperti Arsenal, Brighton dan West Ham telah membuka padang latihan untuk para pemainnya membuat latihan individu pada 27 April 2020.
Premier League berharap dapat meneruskan saingan liga pada 8 Jun dan menamatkan baki permainan pada penghujung Julai. Jika segalanya berjalan lancar, ini membolehkan pasukan-pasukan mempersiapkan jentera pasukan dengan perancangan kejohanan UEFA. UEFA mengkehendaki sesi latihan dimulakan semula pada 18 Mei.
Menurut BBC, kesemua wakil kelab utama akan bermesyuarat pada 1 Mei ini untuk membincangkan pilihan yang ada untuk liga disambung.
Walaubagaimanapun, keputusan untuk EPL disambung masih lagi memerlukan kelulusan kerajaan UK. Syarat untuk menyambung semula perlu memenuhi lima permintaan utama terutama peraturan penjarakkan sosial.
EPL dan liga-liga bola sepak lain di England telah menangguhkan semua perlawanan sejak 13 Mac lalu berikutan wabak COVID-19. Pun begitu setiap kelab terlibat telah bertekad untuk menghabiskan baki musim ini sebelum Ogos, sebagaimana yang ditetapkan oleh badan bola sepak Eropah, UEFA.













