Minggu lepas, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengumumkan penggunaan dron bagi tujuan pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kini, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) turut menggerakkan penggunaan dron melalui Pasukan Gerakan Udara (PGU).

Dron-dron ini digunakan untuk tujuan memantau pergerakan orang ramai senasa Perintah Kawalan Pergerakan lanjutan. Selain itu, dron-dron ini juga turut digunakan di kawasan-kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Di Kluang, Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor dikenakan PKPD sejak Jumaat lalu, susulan jumlah jangkitan positif COVID-19 yang tinggi di daerah terbabit. Bagi Hulu Langat, tujuh kampung di daerah berkenaan dilaksanakan PKPD berkuat kuasa 29 Mac hingga 13 April depan.

Model dron yang digunakan adalah DJI Mavic 2 Enterprise yang turut dilengkapi dengan pembesar suara. Penggunaan pembesar suara ini penting bagi memberi peringatan kepada orang ramai yang ingkar dengan PKP.

Bernama melaporkan lebih dari 10 buah dron telah dilengkapkan dengan teknologi pengesan haba, bagi membolehkannya beroperasi pada waktu malam.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut berkongsikan video klip dron PDRM ini beroperasi melalui Twitter.

Selain KDN, PDRM juga turut mengeluarkan kenyataan melalui Twitter mengingatkan orang ramai supaya bersama-sama mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

Tinggalkan komentar