Digital Nasional Berhad (DNB) telah menolak notis penamatan perjanjian yang dikemukakan oleh Telekom Malaysia (TM). Menurutnya, syarikat telekomunikasi tersebut masih terikat dengan kontrak Perjanjian Akses 5G sehingga Oktober 2032.
Perkembangan ini susulan daripada pengumuman TM pada minggu lalu yang menyatakan persetujuan untuk menandatangani perjanjian borong 5G selama tiga tahun bersama U Mobile.
Melalui perjanjian baharu tersebut, TM merancang untuk menggunakan Rangkaian Teras Berbilang Pengendali (Multi-Operator Core Network, MOCN) 5G milik U Mobile. Secara langsung membawa maksud TM berhasrat untuk menamatkan kontrak semasanya dengan pihak DNB.
DNB dilaporkan akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk memelihara kepentingannya di bawah perjanjian tersebut.
Penolakan notis ini menimbulkan persoalan terhadap proses peralihan perkhidmatan 5G TM yang diumumkan sebelum ini. Hal ini kerana status kontrak pelaksanaannya bersama DNB buat masa ini masih lagi sah.













