Digital Nasional Berhad (DNB) telah mengumumkan pihaknya kini telah melepasi sasaran tahun 2022 untuk mencapai 40% kawasan berpenduduk yang menerima 5G di seluruh Malaysia. Sehingga 31 Disember 2022, sejumlah 3,900 tapak pemancar telah dinaikkan di seluruh negara.
Menurut DNB, pihaknya kini menumpukan pencapaian sasaran 80% liputan 5G di kawasan berpenduduk sebelum menjelang akhir tahun 2024. Buat masa ini, rangkaian komunikasi DNB boleh dicapai oleh sejumlah 15 juta penduduk dan seterusnya sehingga 30 juta penduduk dan peniagaan sebaik sahaja seluruh rangkaian ini selesai dibangunkan.
Berdasarkan maklumat yang dikongsikan, rangkaian 5G kini mempunyai 47.1% liputan kawasan berpenduduk di seluruh negara termasuk lebih 97% di Kuala Lumpur dan Putrajaya. Selangor pula sedikit lagi mahu mencecah 90% liputan dengan 50% kawasan berpenduduk pula berjaya dicapai bagi Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Rangkaian 5G bagi kawasan Malaysia Timur pula, sebanyak 32.4% liputan di kawasan berpenduduk di Sarawak dan 27.9% untuk Sabah. Liputan 5G masih lagi agak terhad bagi negeri-negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis, dengan kurang dari 15% penduduk menerimanya.













