Dell secara rasminya telah melancarkan laptop khusus permainan Alienware M15 Ryzen Edition R5. Laptop ini merupakan yang pertama sejak 14 tahun lalu selepas kali terakhir Dell melancarkan laptop khusus permainan menggunakan AMD melalui Aurora mALX.
Pastinya, banyak perubahan teknologi yang sudah berlaku sejak 2007 dahulu. Kali ini, Alienware M15 Ryzen Edition R5 menggunakan pemprosesan siri AMD Ryzen 5000 H-Series Mobile dengan GPU NVIDIA GeForce siri RTX 30.
Pengguna juga boleh memilih sama ada menggunakan pemprosesan Ryzen 7 5800H atau Ryzen 9 5900HX yang boleh di’overclock’. Begitu juga dengan kad grafik, pengguna boleh memilih RTX 3060 atau RTX 3070, kedua-duanya mempunyai TDP 115W.
Selain itu, pengguna boleh memilih kapasiti RAM DDR4-3200MHz antara 8GB, 16GB, atau 32GB dan kapasiti storan SSD sehingga 4TB.
Untuk paparannya, Alienware M15 Ryzen Edition R5 mempunyai paparan berukuran tetap iaitu 15.6-inci. Namun, pengguna boleh memilih panel sama ada HD Penuh 165Hz, HD Penuh 360Hz atau WQHD (2560 x 1440) 240Hz. Untuk pilihan panel HD Penuh 360Hz dan WQHD (2560 x 1440) 240Hz, ianya menawarkan sokongan NVIDIA G-Sync.
Dell Alienware m15 Ryzen Edition R5 akan mula dijual di pasaran Amerika Syarikat 20 April ini, manakala di Malaysia sekitar Mei tahun ini. Setakat ini tidak dimaklumkan mengenai harganya di pasaran tempatan. Tetapi, berdasarkan harga yang ditawarkan di AS, ianya bermula dari US$1734 (~RM7422)..













