Utama Panduan Cara guna Circle to Search dalam Samsung Galaxy S24

Cara guna Circle to Search dalam Samsung Galaxy S24

195
0

Ketika Samsung mengumumkan siri Galaxy S24 baru-baru ini, beberapa fungsi pada Galaxy AI di dalam siri telefon pintar berkenaan turut diketengahkan. Salah satu fungsi baharu yang memanfaatkan kelebihan kecerdasan buatan berkenaan adalah Circle to Search.

Fungsi ini membolehkan anda membuat carian apa-apa sahaja pada skrin anda dengan melakukan gestur yang mudah. Ia ibarat melakukan carian menggunakan Google Lens dengan tangkapan layar, namun dengan kaedah yang lebih mudah. Anda boleh menggunakannya pada apa jua aplikasi dan bukan sekadar pada pelayar web sahaja.

Cara mengaktifkan fungsi Circle to Search

Sebelum anda boleh menggunakan Circle to Search, anda perlu memastikan ia diaktifkan terlebih dahulu. Ketika anda mula-mula membuat tetapan untuk Galaxy S24, terdapat satu prom yang muncul apabila anda menekan lama pada butang ‘home’ atau bar navigasi (bergantung pada paparan navigasi utama yang anda pilih). Ia akan memberikan dua pilihan iaitu Google Assistant atau Circle to Search. Pilih Circle to Search sebagai pilihan lalai anda.

Jika anda memilih Google Assistant, anda masih boleh menukarkannya kemudian dengan langkah berikut:

  • Buka Settings pada Galaxy S24 anda
  • Tatal ke bawah dan pilih Display
  • Tatal ke bawah dan pilih Navigation Bar
  • Pilih togol Circle to Search dan pastikan ia dihidupkan

Cara menggunakan Circle to Search

Oleh kerana Circle to Search boleh digunakan pada hampir semua aplikasi, anda tidak perlu memilih untuk menggunakannya pada pelayar web pilihan anda. Anda boleh menggunakannya pada aplikasi lain seperti X (Twitter), Youtube, Facebook, Instagram atau apa sahaja aplikasi termasuk aplikasi Camera dan Gallery.

  • Pastikan objek atau individu yang anda ingin cari muncul pada skrin telefon pintar anda
  • Tekan lama pada butang ‘home’ atau bar navigasi anda untuk mengaktifkan Circle to Search
  • Skrin akan berubah memaparkan satu lapis telus (overlay) berona biru dengan bar carian Google muncul pada bahagian bawahnya.
  • Ketik padanya dan lukis atau bulatkan bahagian yang ingin anda buat carian mengenainya.
  • Teks dan imej berkait dengannya akan muncul pada bahagian bawahnya.
  • Anda boleh mengulanginya semula jika tidak berpuas hati dengan bahagian yang anda pilih untuk membuat carian tadi.

Carian lanjut dengan Circle to Search

Anda boleh meluaskan lagi konteks atau memperincikan lagi carian anda tadi di dalam Circle to Search. Ia amat berguna bagi mendapatkan maklumat yang lebih tepat.

  • Apabila anda telah memilih bahagian di dalam Circle to Search dan mempunyai hasil cariannya, pilih medan masukan ‘Add to your search’
  • Taip atau jelaskan apakah yang anda ingin tambah

Cara keluar dari Circle to Search

Sebaik sahaja anda selesai membuat carian, anda boleh keluar dari lapis telus Circle to Search berkenaan.

Jika anda menggunakan navigasi dengan butang ‘home’, anda boleh tekan pada butang ‘back’ untuk kembali kepada aplikasi anda.

Jika anda menggunakan navigasi gestur leretan (swipe), leretkan ke dalam dari mana-mana sisi skrin anda untuk kembali ke aplikasi sebelumnya.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.