Tahun lalu Celcom telah mengumumkan pelan pascabayar XP Lite bersama-sama M Pass dan L Pass di bawahnya. Pelan berkenaan kini diperbaharukan khusus untuk pas M dan L.
Penawaran terbaru ini menyediakan lebih data kepada pelanggannya selain turut memberikan penstriman tanpa had untuk tontonan YouTube.
Pelan pascabayar M Pass XP Lite masih lagi menawarkan tambahan data 7GB. Tetapi kini dengan tawaran data tanpa had untuk penstriman video YouTube dengan kualiti video dihadkan pada 480p sahaja.
Manakala untuk L Pass pula, ianya ditingkatkan dari 14GB data kepada 15GB data, bersama-sama penstriman video YouTube tanpa had dengan kualiti 720p.
Harga bagi kedua-dua pelan berkenaan masih lagi tidak berubah iaitu tambahan RM10 bagi M Pass dan RM30 bagi L Pass. Pelan asasnya masih lagi tidak berubah pada RM28.
Menurut Celcom, kesemua pelanggan sedia ada pelan XP Lite untuk kedua-dua pas bakal menikmati penambahan ini pada kitaran bil berikutnya.
Selain itu, pengguna yang sudah melanggan kedua-dua pas berkenaan lebih dari enam bulan boleh menikmati data tanpa had selama sejam setiap hari melalui Ultra Hour Pass. Sebelum ini, ianya hanya ditawarkan kepada pelanggan L Pass sahaja.
Kedua-dua pas pelan pascabayar XP Lite turut didatangkan bersama-sama panggilan tanpa had.












