Celcom dijangka akan memulakan ujian 5G untuk pengguna pada September ini, menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamad Idham Nawawi. Beliau turut menyatakan syarikatnya telah mengintegrasikan 5G ke 1,000 tapak pemancar di seluruh negara sehingga kini.

Kenyataan tersebut dibuat ketika pelancaran Axiata Cyber Fusion Centre di ibu pejabat korporat Celcom di Petaling Jaya. Di dalam acara yang sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa juga memaklumkan perbincangan pegangan di dalam Digital Nasional Berhad dengan syarikat telekomunikasi tempatan juga berjalan lancar menjelang tarikh muktamadnya pada 31 Ogos 2022.

Perkembangan ini juga selari dengan apa yang diperkatakan oleh Ketua Pegawai Operasi (Teknologi) Celcom Afizulazha Abdullah sebelum ini di Celcom Business Tech Week. Beliau pada ketika itu menyatakan Celcom kini bersedia untuk menyediakan teknologi rangkaian selular generasi berikutnya ini. Syarikat telekomunikasi ini juga sudah menjalani pengujian 5G dan kini sedang memuktamadkan untuk pengguna secara komersil.

Sebaik sahaja proses tersebut selesai, Celcom akan mula memperkenalkan teknologi tersebut kepada pengguna umum.

Pada tahun 2017, Celcom bersama-sama Ericsson telah melakukan demonstrasi awam 5G pertama di Malaysia dengan kelajuan 18Gbps. Selain itu, Celcom juga pernah menyertai pameran Malaysia 5G di Putrajaya yang mempertontonkan sebilangan projek yang melibatkan realiti maya, penggunaan dron, dan kereta autonomous.

Tinggalkan komentar