Pengguna telefon pintar sedia maklum bahawa hayat penggunaan bateri peranti masing-masing pada kebiasaannya hanya mampu bertahan sekitar 9 jam. Untuk itu, aksesori tambahan seperti power bank sudah menjadi seperti satu keperluan buat pengguna terutamanya apabila berada di luar.

Sebelum membeli power bank, pengguna perlu mengetahui serba sedikit panduan membeli power bank agar dapat membuat pilihan yang tepat sewaktu pembelian. Antara ciri-ciri yang perlu diketahui oleh pengguna tentang power bank adalah;

Kapasiti

Power bank hadir dengan pelbagai kapasiti. Ada yang besar dan ada yang kecil. Ia bergantung dengan keperluan penggunaan pengguna itu sendiri. Bagi jenis berkapasiti besar, walaupun ia mampu menyimpan kuasa yang lebih besar, ia memerlukan masa pengecasan yang lebih panjang. Kapasiti power bank pada kebiasaannya dijual dari serendah 2600 mAh sehingga jenis 20000 mAh.

Jaminan

Produk yang baik selalunya memiliki jaminan dari pengeluar untuk sekurang-kurangnya setahun dari tarikh pembelian. Sebaik-baiknya semak dahulu dengan penjual aksesori mudah alih sama ada ditawarkan jaminan jika berlaku kerosakan terhadap produk yang anda beli.

Jenis Bateri yang digunakan

Di pasaran, bateri-bateri yang digunakan oleh power bank terbahagi kepada dua jenis, iaitu;

  1. Lithium-Ion – Jenis yang sering digunakan oleh bateri-bateri peranti pintar yang berkapasiti kecil. Ia juga sering didapati pada power bank yang berkapasiti kecil. Menjadi pilihan kerana faktor saiznya yang lebih kecil berbanding jenis lain. Cuma, apa yang kurang dengan bateri jenis ini adalah ia cepat panas serta tidak tahan lama jika sering digunakan di tempat-tempat yang panas.
  2. Lithium-Polymer – Teknologi yang digunakan oleh bateri ini secara umumnya lebih terkini jika dibandingkan dengan Lithium-Ion. Ia kini sudah mula digunakan pada peranti-peranti yang berprestasi tinggi untuk lebih tempoh penggunaan. Dari segi keselamatan, bateri dari jenis ini lebih tahan panas, tidak mudah terbakar serta lebih stabil kerana memiliki tahap penebatan (insulation) yang baik.

Ikut keperluan anda juga, jika peranti yang anda bukan berprestasi tinggi penggunaan bateri Lithium-Ion untuk anda pun sudah memadai.

Jenama

Pasaran aksesori mudah alih hari ini dipenuhi dengan lambakan pelbagai jenama dari China. Ada yang baru dan ada yang sudah establish. Antaranya Xiaomi, Pineng, Utoo, Huawei dan banyak lagi. Pengguna kini agak sukar untuk menentukan jenama mana yang boleh dipercayai dan benar-benar tulen. Oleh itu, anda perlu rajin bertanya dengan rakan-rakan anda yang pernah menggunakan power bank jenama-jenama tertentu dan kalau boleh bertanya dengan penjual yang anda percaya.

Output

Output boleh menentukan tahap kepantasan mengecas serta tahap pengeluaran maksimum boleh ditawarkan olehnya. Sebagai contoh, peranti yang mempunyai sokongan ‘quick charge’ mampu menerima kuasa pengecasan sehingga 2A melalui USB. Jika anda mempunyai peranti-peranti yang menyokong fungsi ‘quick charge’ ini, anda mungkin perlu memerhatikan port outputnya sama ada, 5V/1A, 5V/1.5A atau 2.1A.

Petunjuk (Indicator)

Lain power bank, lain petunjuk yang memberikan maklumat kepada pengguna tentang tahap kapasiti kuasa yang ada padanya untuk memudahkan anda menjangka tempoh pengecasan dan penggunaannya pada peranti lain. Pastikan anda faham dengan petunjuk-petunjuk yang ditawarkan oleh model power bank yang anda ingin beli.

Tinggalkan komentar