Canon secara rasminya telah mengumumkan pembangunan kamera mercu EOS R1 yang dijangka akan dilancarkan pada tahun ini tidak lama lagi. Ia dijangka menampilkan ciri-ciri premium, nircermin berbingkai penuh, dan naik taraf yang besar dari model sebelumnya.

Menurut Canon, EOS R1 akan menampilkan cagak RF dan direka untuk menawarkan prestasi yang lebih hebat untuk video dan juga fotografi pegun. Ciri utama yang diketengahkannya merupakan sistem pemprosesan imej termaju yang mengintegrasikan sensor CMOS baharu yang masih belum dinyatakan.

Ia juga akan menggunakan pemproses imej baharu yang dinamakan sebagai Digic Accelerator yang akan dijalankan bersama-sama pemproses Digic X. Pakatan ini dijangka akan meningkatkan keupayaan kamera tersebut untuk menguruskan data bersaiz besar dengan pantas dan seterusnya meningkatkan prestasi keseluruhannya.

Salah satu ciri yang paling menonjol di dalam kamera yang akan diperkenalkan ini adalah pada keupayaan autofokus yang dipertingkatkan. Ia dikuasakan oleh teknologi pembelajaran mendalam (deep learning) dari Canon yang membolehkan pengecaman subjek dapat dilakukan dengan amat pantas dan amat tepat yang penting untuk mengambil babak-babak dinamik.

Ciri baharu yang diperkenalkan termasuklah Action Priority yang boleh mengenalpasti dan mengutamakan subjek-subjek penting di dalam masa nyata bagi memastikan fokus dapat dikekalkan dalam momen-momen kritikal.

Selain itu, Canon EOS R1 akan menggabungkan ciri pengurangan hingar imej lanjutan yang menjanjikan kualiti imej yang dipertingkatkan serta lebih ruang kreativiti untuk jurugambar. Canon menyatakan ciri tersebut sebelum ini ditawarkan pada perisian PC buatannya, dan ini merupakan pertama kali diperkenalkan pada kamera.

Buat masa ini Canon masih belum menyatakan bilakah kamera EOS R1 ini akan dilancarkan. Dijangkakan ia akan dimaklumkan menerusi pelancaran rasminya yang dijadualkan diadakan dalam tempoh beberapa bulan sahaja lagi.

Tinggalkan komentar