Utama Mobile Aplikasi BUDI95: Pengguna TNG eWallet, Setel, Caltex Go boleh isi tanpa imbas MyKad...

BUDI95: Pengguna TNG eWallet, Setel, Caltex Go boleh isi tanpa imbas MyKad di pam jika telah sahkan Identiti

89
0

BUDI95 menyenaraikan dua aplikasi syarikat minyak iaitu Setel oleh Petronas dan CaltexGo oleh Caltex yang boleh digunakan untuk pengesahan identiti bagi tujuan penebusan harga subsidi petrol RON95 bermula 30 September ini. Manakala aplikasi TNG eWallet boleh digunakan bagi tujuan yang sama tanpa perlu mengimbas MyKad secara fizikal di terminal stesen minyak setiap kali mengisi petrol.

Menurut Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican, infrastruktur digital backend untuk mekanisme subsidi petrol RON95 baharu diuruskan oleh TNG Digital Sdn. Bhd. Beliau menyatakan demikian ketika ditanya oleh The Edge ketika sidang media berkenaan program subsidi petrol BUDI95.

Difahamkan, sistem berpusat yang akan menyokong pengesahan BUDI95 untuk semua aplikasi syarikat minyak akan dibentuk dan diuruskan oleh TNG Digital menerusi unit milikan penuhnya Nadi Tech Sdn. Bhd.

Ketika ditanya bilakah pengendali e-wallet dan aplikasi syarikat minyak lain akan menyediakan kaedah pengesahan identiti sekali melalui eKYC untuk BUDI95, beliau menyatakan aplikasi Shell akan menawarkan mekanisme yang dalam “dalam tempoh lebih kurang sebulan”.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang turut hadir di dalam sidang media berkenaan menyatakan TNG eWallet boleh digunakan di kesemua stesen minyak. Manakala aplikasi syarikat minyak pula hanya boleh digunakan di stesen masing-masing.

Menerusi BUDI95, kesemua rakyat Malaysia layak menikmati RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter dengan had kuota 300 liter sebulan. Penebusan harga subsidi boleh dibuat menggunakan MyKad dan lesen memandu yang sah. Program ini menurut menteri berkenaan bakal memanfaatkan 16 juta rakyat.

Bagi anda yang tidak menggunakan aplikasi-aplikasi seperti yang dinyatakan di atas untuk menikmati petrol RON95 pada harga subsidi, anda perlu mengimbas MyKad di terminal pada pam minyak. Caranya sama seperti menggunakan kad debit atau kredit bank atau kad fleet. Menerusinya anda boleh melihat baki kuota sebelum membuat pembayaran untuk bahan api berkenaan.

Tinggalkan komentar