Utama Mobile Aplikasi BUDI95: Cara gunakan TNG eWallet untuk Petrol RON95 Harga RM1.99 seliter

BUDI95: Cara gunakan TNG eWallet untuk Petrol RON95 Harga RM1.99 seliter

186
0

Rakyat Malaysia boleh menikmati petrol RON95 lebih murah pada harga RM1.99 seliter bermula 30 September 2025 menerusi program Budi Madani RON95 (BUDI95). Harga bersubsidi ini boleh dinikmati seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira tahap pendapatan dengan menggunakan MyKad dan lesen memandu yang sah.

Selain menggunakan MyKad untuk membuat pengesahan secara fizikal dalam setiap isian, anda juga boleh menggunakan aplikasi TNG eWallet. Fungsi tersebut disediakan di dalam aplikasi berkenaan dengan menggunakan kod QR dan boleh digunakan di semua stesen minyak di Malaysia.

Cara menggunakan BUDI95 dengan TNG eWallet:

Anda boleh mendapatkan petrol RON95 pada harga subsidi melalui fungsi BUDI95 di dalam aplikasi TNG eWallet seperti berikut:

  1. Buka aplikasi TNG eWallet, ketik pada BUDI95 di halaman utama. Anda juga boleh mengakses melalui bahagian “more” dan carikan “BUDI95”
  2. Ketik pada “Buy Fuel”
  3. Pilih stesen minyak atau aplikasi secara automatik mengesan lokasi stesen minyak semasa anda jika ciri lokasi peranti yang digunakan diaktifkan
  4. Masukkan nombor pam dan masukkan jumlah petrol
  5. Sahkan pesanan anda terus melengkapkan bayaran menggunakan aplikasi TNG eWallet
  6. Satu kod QR akan muncul untuk ditunjukkan di kaunter stesen minyak diimbas
  7. Terus mengisi kenderaan anda untuk menikmati RON95.

Kod QR tersebut hanya sah digunakan dalam tempoh 10 minit sahaja. Bagi anda yang ingin membuat isian penuh, anda boleh memasukkan jumlah yang lebih tinggi. Jika anda tidak menggunakan kod QR tersebut atau jika terdapat baki, lebihan jumlah tersebut akan dimasukkan semula ke dalam akaun eWallet secara automatik. Setiap pembelian petrol RON95 melalui aplikasi ini juga boleh mendapat ganjaran TNG eWallet GOrewards.

Berbeza dengan Setel, mekanisme ini masih memerlukan anda pergi ke kaunter untuk imbasan kod QR sebelum membuat isian petrol.

Cara membuat semakan kelayakan dan baki kuota BUDI95

Bahagian BUDI95 di dalam TNG eWallet boleh menunjukkan status kelayakan dan juga baki kuota bulanan subsidi petrol RON95. Semakan yang sama juga boleh dibuat secara dalam talian di budimadani.gov.my.

Menurut Kementerian Kewangan, setiap warganegara Malaysia akan diberikan kuota bulanan petrol bersubsidi 300 liter. Pemandu perkhidmatan e-hailing dan p-hailing dikecualikan daripada had kuota 300 liter ini dan boleh memohon peruntukan kuota yang lebih tinggi.

BUDI95 mula dilaksanakan di seluruh negara pada Selasa 30 September 2025. Kumpulan sasar seperti polis dan tentera boleh menerima lebih awal pada Sabtu 27 September 2025, manakala kumpulan penerima bantuan STR pula pada Ahad 28 September 2025.

Cara membuat pengesahan TNG eWallet dengan eKYC

Untuk menggunakan BUDI95 melalui TNG eWallet, anda perlu melengkapkan proses pengesahan identiti kewarganegaraan secara digital dengan electronic Know Your Customer (eKYC). Anda boleh melakukannya dengan mengambil foto depan dan belakang MyKad dan swafoto anda seperti berikut:

  1. Buka aplikasi TNG eWallet dan ketik pada profil anda pada penjuru kanan atas
  2. Ketik pada Account Verification, dan ketik pada Verify Account
  3. Di bawah ID Type, pilih MyKad
  4. Imbas bahagian hadapan dan belakang MyKad anda
  5. Ambil swafoto
  6. Isikan maklumat yang diperlukan dan tekan Submit

Menurut TNG eWallet, proses eKYC pada kebiasaannya boleh disiapkan pada kadar segera. Namun jika memerlukan lebih maklumat ia boleh mengambil masa sehingga 7 hari bekerja.

Tinggalkan komentar