Terdapat pelbagai cara untuk meningkatkan hayat penggunaan bateri laptop anda dan timbul persoalan di kalangan sesetengah pengguna mengenai apakah kesannya jika kita membiarkan laptop sentiasa disambung ke adapter untuk dicas setiap kali ia digunakan.
Banyak faktor yang dapat mempengaruhi hayat penggunaan bateri terutama sekali faktor persekitaran dan juga bahan-bahan yang digunakan untuk teknologi bateri tersebut.
Terlebih dahulu, kita sebagai pengguna perlu mengenali serba sedikit perihal teknologi bateri laptop yang digunakan sekarang ini.
Kenali bateri laptop anda
Ada dua jenis bateri yang biasa digunakan pada laptop; lithium-ion dan lithium-polimer. Sungguhpun kedua-duanya menggunakan pendekatan teknologi yang berbeza, cara ianya berfungsi hampir serupa iaitu dengan penghasilan kuasa melalui pergerakan elektron. Aliran pergerakan elektron ini secara asasnya menjadikan bateri jenis ini boleh dicas semula.
Bagi kedua-dua jenis bateri laptop ini, ciri-ciri persamaannya adalah seperti berikut;
- Bateri jenis ini tidak akan terlebih cas. Tiada sebab untuk bateri anda terlebih cas walaupun anda membiarkan ianya disambung pada adapter sepanjang masa. Sebaik sahaja ianya mencapai 100% penuh, ia akan berhenti dari mengecas dan tidak akan meneruskannya sehinggalah voltannya berkurangan pada tahap-tahap tertentu.
- Bateri boleh rosak jika digunakan sampai habis terus (bateri kong). Bateri yang digunakan sehingga habis licin untuk beberapa tempoh boleh mengakibatkannya tidak boleh dicas semula.
Walaupun sifat-sifat bateri tersebut tidak menghalang untuk kita kekal menyambungkan laptop dengan adapter sepanjang masa, namun terdapat beberapa faktor lain yang diluar kawalan mampu mempengaruhi tempoh hayat penggunaan bateri.
Perkara-perkara yang boleh menyebabkan kerosakan bateri Lithium
Bateri yang berasaskan Lithium sememangnya tidak stabil. Kapasitinya mula merosot sebaik sahaja ianya dihasilkan di kilang pembuatannya dan terdapat pelbagai faktor yang mempercepatkan kemerosotannya seperti:
- Kitaran cas/nyahcas. Setiap bateri mempunyai bilangan-bilangan tertentu yang membolehkan ianya dicas dan dinyahcaskan.
- Tahap voltan. Semakin tinggi tahap pengecasan (diukur dalam bentuk voltan per sel), semakin rendah jangka hayat bateri.
- Suhu yang tinggi melebihi 30 darjah Celsius. Ini boleh menyebabkan kerosakan kekal terhadap bateri.
Menurut kajian yang dijalankan oleh Battery University, tahap pengecasan dan suhu yang terlampau panas merupakan faktor utama yang menyebabkan kemerosotan jangka hayat bateri.
Tahap Pengecasan
Bateri Lithium-ion dicas pada 4.20V/sel yang bersamaan dengan 100% kapasitinya. Pada tahap ini, bateri ini akan mempunyai jangka hayat sekitar 300-500 kitaran nyahcas.
Setiap kali pengurangan 0.10V/sel dalam pengecasan, ia menggandakan jumlah kitaran nyahcasnya sehingga merosot ke tahap 3.92V/sel dengan kitaran nyahcas mencapai ke tahap 2400-4000 kitaran.
Pada tahap ini, kapasiti yang boleh dicaskan oleh bateri berkenaan adalah pada 58% sahaja dan ini akan menyebabkan pengguna perlu lebih kerap mengecas untuk menggunakan laptop berkenaan.
Suhu yang terlalu tinggi
Haba yang terlalu tinggi melebihi 30 darjah Celsius boleh memendekkan hayat bateri anda. Oleh itu, meninggalkan laptop di dalam kereta di bawah panas terik sinaran matahari merupakan tindakan yang sangat tidak wajar.
Ujian yang dijalankan oleh Battery University menunjukkan bahawa bateri yang sedang dicaskan pada tahap 40% dan suhu 40 darjah celsius boleh mengurangkan kapasitinya penuh kepada 85% dalam tempoh setahun.
Faktor haba bukanlah hadir dari keadaan persekitaran semata-mata. Ia juga dipengaruhi oleh cara penggunaan laptop itu sendiri yang meningkatkan haba dari dalamnya ketika melakukan tugasan-tugasan berat seperti membuat suntingan video dan juga bermain video dengan tetapan grafik yang tinggi.
Malah, tempat laptop tersebut digunakan juga boleh mempengaruhi suhunya seperti menggunakannya di atas tempat lembut; tilam, bantal, narita, toto dan lain-lain.
Patutkah anda menanggalkan bateri?
Sesetengah pengguna yang peka dengan haba yang dihasilkan oleh laptopnya mungkin mengambil langkah proaktif dengan menanggalkan bateri tersebut. Namun, dengan pertambahan jumlah peranti-peranti dengan bateri yang tidak boleh ditanggalkan, mungkin akan menimbulkan kesukaran buat pengguna pada masa akan datang.
Berkenaan hal ini pun, pihak pengeluar tidak sependapat antara satu sama lain mengenai isu bateri laptop ini. Misalnya, Acer memberikan saranan supaya para pengguna menanggalkan bateri setiap kali menyambungkannya dengan adapter. Manakala Apple pula menegah para penggunanya dari menanggalkan bateri MacBook walaupun sesetengahnya direka dengan bateri yang boleh ditanggalkan.
Bagi pengeluar laptop lain pula, HP mencadangkan pengguna boleh terus mengecas laptop sehingga tempoh selama 2 minggu sebelum menanggalkan adapter tersebut. Dell pula memaklumkan produk keluarannya tiada sebarang masalah jika dibiarkan bersambung dengan adapter sepanjang masa.
Apapun, kesan yang diperoleh dari tabiat menggunakan laptop dengan adapter yang terpasang untuk tempoh yang lama tidak dapat diperhatikan dalam waktu yang terdekat. Pengguna biasanya akan mula melihat kemerosotan kapasiti bateri laptop berkenaan setelah setahun dari pembeliannya.
Selain dari faktor adapter, pengguna juga harus peka dengan soal haba yang mampu mendatangkan kerosakan terhadap peranti demi memanjangkan tempoh hayat penggunaannya disamping menjimatkan perbelanjaan.














