Menjelang tahun 2021 kelak, pengeluar-pengeluar kereta utama di dunia mungkin mempunyai pilihan yang banyak untuk menentukan jenis apakah kereta elektrik yang boleh dibina. Pembangunan teknologi bateri bakal menentukan sejauh manakah teknologi ini bakal direalisasikan.
Lantaran itu, Samsung SDI, bahagian lithium-ion dan tenaga boleh diperbaharui Samsung mengumumkan bateri “generasi berikutnya” yang menawarkan pemanduan sehingga 600 km selepas ia dicas untuk 20 minit.
Bateri berketumpatan tinggi ini direka untuk membekalkan tenaga sehingga 500 km jarak perjalanan atau bersamaan 80 peratus dari kapasitinya setelah diambil kira waktu untuk berhenti rehat di RnR. Sebagai perbandingan, kapasiti ini lebih dari apa yang ditawarkan oleh Tesla Model S sekarang ini.
Daripada meletakkan lebih banyak sel-sel bateri hingga menambahkan beban kereta, Samsung berharap melalui pendekatan pengecasan pantas seperti waktu mengecas telefon pintar ini dapat menyakinkan pengguna untuk menggunakan kenderaan elektrik pada masa akan datang.
Sumber berita diperoleh dari Agensi Berita Yonhap