Bank Dunia menyifatkan had umur pengeluaran penuh simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Malaysia pada usia 55 tahun sebagai terlalu rendah, terutamanya apabila negara sedang menuju status negara menua dengan pantas.

Dalam laporan terkininya, Bank Dunia mengesyorkan agar had umur tersebut dinaikkan secara berperingkat sehingga ke 65 atau 70 tahun bagi memastikan jaminan pendapatan persaraan yang mencukupi untuk rakyat Malaysia.​

Laporan Bank Dunia yang bertajuk “Should Malaysia Expand Its Social Pension?” menekankan bahawa jangka hayat rakyat Malaysia yang semakin meningkat memerlukan simpanan persaraan yang lebih mampan. Pengeluaran penuh pada usia 55 tahun menyebabkan ramai pesara kehabisan dana persaraan mereka dalam tempoh yang singkat, iaitu sekitar tiga hingga lima tahun selepas pengeluaran dibuat.​

Menurut data pada tahun 2019, 75% ahli KWSP berumur 54 tahun mempunyai baki akaun kurang daripada RM250,000. Jumlah ini, apabila diterjemahkan kepada pendapatan bulanan, hanya memberikan kurang daripada RM1,050 sebulan, meletakkan ramai warga emas dalam risiko kemiskinan. Kadar pengeluaran pada usia 55 tahun ini juga dianggap rendah berbanding piawaian antarabangsa dan serantau.​

Antara Cadangan oleh Bank Dunia berkenaan KWSP

Sebagai sebahagian daripada cadangan jangka panjang, Bank Dunia mencadangkan beberapa langkah reformasi strategik:​

  • Menaikkan had umur minimum pengeluaran KWSP secara beransur-ansur kepada 65 tahun.
  • Menghubungkaitkan had umur pengeluaran dengan jangka hayat purata negara pada masa hadapan.
  • Memperluas liputan KWSP untuk merangkumi lebih ramai pekerja bebas dan pekerja sektor tidak formal.
  • Mempertimbangkan pencen sosial yang dibiayai cukai, sebagai contoh, sebanyak RM350 sebulan untuk golongan B40 berumur lebih 65 tahun bagi melindungi golongan paling rentan.​

Walau bagaimanapun, KWSP tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan mana-mana pihak buat masa ini untuk menaikkan had umur pengeluaran.

Tambahan pula sebarang perubahan terhadap polisi sedia ada tidak akan mudah dan berkemungkinan akan menerima bantahan daripada orang ramai.

Buat masa ini, pencarum KWSP boleh membuat pengeluaran penuh simpanan mereka pada usia 55 tahun, manakala pengeluaran untuk Akaun Emas boleh dibuat pada usia 60 tahun.

Tinggalkan komentar