Asus Republic of Gamers (ROG) melancarkan dua konsol permainan mudah alih terbarunya, ROG Xbox Ally dan ROG Xbox Ally X, untuk pasaran Malaysia dengan harga bermula RM2,699. Ketersediaannya untuk pra-tempahan bermula 6 Oktober 2025 melalui semua wakil pengedar yang sah, dan jualan runcit bermula pada 17 Oktober 2025.
Kedua-dua model dilengkapi skrin LCD IPS 7-inci beresolusi 1080p dengan kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak 500 nits, dilindungi Corning Gorilla Glass Victus. Konsol ini turut menyokong teknologi AMD FreeSync Premium untuk pengalaman permainan lebih lancar.
ROG Xbox Ally

ROG Xbox Ally versi asas berwarna putih dikuasakan cip AMD Ryzen AI Z2 A, menawarkan peningkatan prestasi sehingga 20% berbanding generasi sebelumnya. Ia dilengkapi RAM 16GB LPDDR5X-6400, storan 512GB M.2 SSD, dan bateri 60Wh yang memberikan peningkatan hayat bateri hingga 110%.
- RAM: 16GB LPDDR5X-6400
- Storan: 512GB M.2 2280 SSD
- Bateri: 60Wh, menawarkan peningkatan hayat bateri sehingga 110% berbanding ROG Ally X asal
- Port I/O: 2x USB 3.2 Gen 2 Type-C, 1x pembaca kad mikroSD UHS-II, 1x bicu audio kombo 3.5mm
ROG Xbox Ally X
Model premium ROG Xbox Ally X berwarna hitam pula menggunakan cip AMD Ryzen AI Z2 Extreme yang lebih berkuasa, memberikan peningkatan prestasi sehingga 30%. Ia hadir dengan RAM 24GB LPDDR5X-8000, storan 1TB, dan bateri 80Wh yang mampu bertahan dua kali ganda lebih lama. Model ini juga dilengkapi port USB 4 yang serasi dengan Thunderbolt 4.
- RAM: 24GB LPDDR5X-8000
- Storan: 1TB M.2 2280 SSD
- Bateri: 80Wh, memberikan dua kali ganda hayat bateri berbanding model sebelumnya
- Port I/O: 1x USB 4 (serasi Thunderbolt 4), 1x USB 3.2 Gen 2 Type-C, 1x pembaca kad mikroSD UHS-II, 1x bicu audio kombo 3.5mm

Kedua-dua peranti menjalankan sistem operasi Windows 11 bersama perisian Xbox dan Armoury Crate Special Edition, dengan sokongan suite perisian Radeon seperti AMD FidelityFX Super Resolution (FSR) dan AMD Fluid Motion Frames (AFMF) untuk meningkatkan kadar bingkai hingga 60%.
Harga, Ketersediaan dan Promosi Awal
Siri ROG Xbox Ally diperkenalkan dalam dua varian dengan butiran harga seperti berikut :
- ROG Xbox Ally: RM2,699
- ROG Xbox Ally X: RM4,299
Ketersediaan konsol ini akan dilancarkan dalam tiga fasa. Pra-tempahan kini dibuka secara eksklusif di Asus e-Store. Bermula 6 hingga 15 Oktober 2025, pra-tempahan boleh dibuat melalui semua penjual sah Asus dan akan tersedia di semua kedai penjual sah Asus di seluruh negara mulai 17 Oktober 2025
Anda yang membuat pra-tempahan akan menerima ganjaran eksklusif bernilai sehingga RM999, termasuk :
- Beg silang ROG Slash Sling Bag 4.0
- Pelindung skrin siri ROG Xbox Ally
- Kad mikroSD 512GB
- Waranti Sempurna 2 tahun (perlindungan kerosakan tidak sengaja)
- Promosi PWP (Beli Dengan Beli) 20% untuk ROG Bulwark Dock DG300 dan ROG 65W Gaming Charger Dock













