Apple diketahui boleh menjejak iPhone yang telah dicuri dari kedai-kedainya. Kini, kita boleh melihat bagaimana teknologi ini digunapakai di dunia sebenar.

Berikutan tercetusnya kekacauan dan tunjuk perasaan yang berleluasa di seluruh Amerika Syarikat pada ketika ini, sesetengah pihak telah mengambil kesempatan mencuri barangan di kedai-kedai. Kedai-kedai jualan Apple turut tidak terkecuali menerima kesan dari sebahagian pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pengguna Twitter bernama @onlyfanobtainer telah berkongsikan sebuah imej iPhone yang menyatakan untuk memulangkannya ke tempat asal. Turut dinyatakan pada paparan skrin peranti tersebut telah dilumpuhkan dan sedang dijejaki untuk dimaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan.

Tidak dapat dipastikan protokol apa yang digunapakai oleh Apple dalam menjejaki peranti yang dicuri serta kaedah memaklumkan kepada pihak berkuasa. Setakat ini masih belum diketahui apakah tindakan yang akan diambil oleh Apple berhubung isu ini.

Lanjutan dari peristiwa tunjuk besar-besaran yang sedang berlangsung di seluruh Amerika Syarikat, Apple telah menutup seluruh kedai-kedainya sepanjang minggu ini.

Tinggalkan komentar