Selain ciri Dynamic Island, iPhone 14 Pro dan 14 Pro Max turut menawarkan sokongan ciri Always On Display (AOD) sebagai salah satu ciri utama yang diperkenalkan. Jika dibandingkan dengan pengeluar lain, Apple agak lewat memperkenalkan teknologi paparan skrin ini ke dalam iPhone.

Always On Display pada iPhone 14 Pro dilihat agak berbeza penawarannya kerana keseluruhan skrinnya diaktifkan dengan kecerahannya diturunkan. Ia agak berbeza dengan apa yang ditawarkan pada peranti lain seperti Android yang tidak menggunakan banyak piksel. Atas sebab itu, Apple dilihat akan mengubah pendekatan Always On Display pada iPhone 14 Pro melalui kemaskini iOS 16.2.

Pengguna yang mempunyai akses ke iOS 16.2 Beta 3 baru-baru ini telah menemukan pilihan Always-On Display akan membenarkan anda menutup gambar latar dan notifikasi untuk gaya yang lebih minimalistik. Ia akan menjadikan AOD iPhone 14 Pro lebih mirip dengan Android yang memaparkan jam dan tarikh sahaja.

Sungguhpun Apple menjelaskan ciri AOD yang diperkenalkannnya ini berkecekapan tenaga tinggi dengan kadar penyegaran semula ultra rendah 1Hz, pilihan baharu ini dapat mengurangkan kebimbangan sesetengah pengguna mengenai penggunaan bateri dan juga risiko ketahanan skrin dalam jangka masa panjang.

Bagi pengguna yang tidak menggemari ciri AOD, anda boleh mematikan sementara AOD dengan meletakkan permukaan skrin iPhone 14 Pro ke bawah. Anda juga boleh memilih untuk mengaktifkan mod Do Not Disturb dengan pilihan “Dim Lock Screen” untuk memalapkan skrin tanpa memaparkan gambar latar. Ciri baharu di dalam Always On Display ini dijangka akan disertakan bersama-sama kemaskini iOS 16.2 tidak lama lagi.

Tinggalkan komentar