Hampir 200,000 pengguna telah memuat turun aplikasi JustGO Malaysia susulan pelancaran rasmi Sistem Tol Pembayaran Terbuka Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) yang pertama di negara ini.
Projek rintis ini kini sedang dilaksanakan di jajaran Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) antara Hutan Kampung dan Sungai Dua, melibatkan sembilan plaza tol.
Sistem ini membolehkan pengguna menikmati kebebasan lorong tanpa terikat kepada kaedah pembayaran atau lorong khusus seperti SmartTAG atau RFID semata-mata.
Menurut kenyataan PLUS Malaysia Berhad, “Sistem Pembayaran Terbuka ANPR PLUS melalui JustGO Malaysia membolehkan kebebasan lorong, membenarkan kenderaan berdaftar masuk dan keluar melalui mana-mana lorong tol tanpa terikat kepada kaedah pembayaran tertentu. Transaksi diproses secara automatik apabila kenderaan melepasi lorong tol, dengan pembayaran dipautkan melalui aplikasi mudah alih JustGO”.
Bagi menggunakan perkhidmatan ini, orang ramai hanya perlu memuat turun aplikasi JustGO Malaysia, mendaftar kenderaan mereka, dan memautkan mod pembayaran pilihan seperti kad debit atau kredit.
Tiada pemasangan peranti tambahan atau bayaran pendahuluan diperlukan. Sebagai langkah sokongan, kios pengaktifan telah dibuka di R&R Gurun dan Hentian Sebelah Juru untuk membantu pengguna dalam proses pendaftaran.
Selain itu, kempen promosi turut dijalankan di mana 300 pengguna dengan transaksi tertinggi bakal menerima e-baucar petrol bernilai RM30.
Inisiatif pembayaran terbuka ANPR ini bukan sahaja memudahkan perjalanan pengguna dengan mengurangkan kesesakan di plaza tol, malah ia menyokong peralihan jangka panjang negara ke arah sistem tol tanpa palang atau Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF).













