Utama Internet Ancaman Atas Talian, Kenali jenis-jenis Perisian dan Aktiviti Merbahaya

Ancaman Atas Talian, Kenali jenis-jenis Perisian dan Aktiviti Merbahaya

1963
0
Lock background

Jenayah atas talian adalah sesuatu yang sukar untuk dibendung. Walaupun internet sememangnya sebuah ciptaan yang bermanfaat bagi berbilion umat manusia di seluruh dunia, terdapat sebilangan pihak yang menyalahgunakannya untuk tujuan jahat.

Seperti mana perkara-perkara lain di dalam dunia ini, perkara seperti soal keselamatan perlu dititik beratkan. Lagipun pengguna perlu maklum realiti di dunia ini yang bukannya indah-indah belaka.

Pelbagai jenis ancaman wujud di internet memandangkan penggunaannya melibatkan berbillion manusia dari seluruh pelusuk dunia. Antaranya;

Malware

Singkatan untuk malicious software (perisian hasad), perisian yang tidak diingini dari jenis ini akan dipasang tanpa disedari oleh pengguna komputer tersebut. Virus, cecacing (worms) dan Trojan merupakan di antara contoh-contoh perisian yang dikategorikan sebagai malware.

Penjenayah Siber

Penggodam topi hitam (black hat hackers) dianggap sebagai penjenayah kerana menggunakan perisian jahat pada komputer dan internet untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang melanggar undang-undang. Penjenayah siber menceroboh komputer untuk mencuri maklumat peribadi dan sesebuah organisasi. Terdapat juga sesetengah penjenayah yang menceroboh komputer atau sistem dengan tujuan lain seperti melumpuhkan sistem atau merosakkan pangkalan data.

Kuda Trojan

Trojan merupakan program komputer yang merbahaya serta mampu menyamar sebagai program komputer biasa seperti di dalam format .jpg, .doc dan sebagainya. Program ini mampu membuka pintu belakang (backdoor) untuk komputer yang disasarkan supaya boleh diakses dari jarak jauh tanpa pengetahuan pengguna.

Botnet

Botnet adalah sebuah rangkaian besar yang melibatkan komputer-komputer yang telah diceroboh. “Bot”, singkatan dari perkataan robot adalah perisian hasad yang membolehkan komputer anda dikawal oleh penjenayah siber tanpa pengetahuan anda. Komputer yang termasuk di dalam rangkaian botnet akan digunakan untuk melakukan aktiviti-aktiviti jenayah seperti menghantar spam, menyebarkan virus dan sebagainya.

Virus

Program komputer merbahaya yang direka untuk berjangkit dari satu komputer ke komputer yang lain dengan tujuan mengganggu perjalanan sistem operasi sesebuah komputer. Virus mampu merosakkan dan memadamkan data pada komputer anda serta mampu merosakkan hard disk.

Worm

Program komputer yang mampu membiakkan dirinya sendiri ini menggunakan rangkaian komputer untuk menghantar salinan dirinya sendiri ke komputer lain. Tidak seperti virus, ia tidak perlu diletakkan bersama dengan program-program yang sedia ada. Worms pada kebiasaannya mampu mengganggu sesebuah rangkaian komputer.

Spyware

Perisian ini berperanan memantau sebarang aktiviti atas talian yang dilakukan oleh pengguna komputer yang terlibat dengan mengumpulkan maklumat seperti maklumat peribadi, tabiat melayari internet dan sebagainya. Kehadirannya kadangkala sukar dijejak dan sesetengah pengguna tidak menyedarinya untuk sesuatu tempoh yang lama.

Phishing

Phishing merupakan aktiviti kecurian identiti atas talian dengan menggunakan emel atau laman web palsu untuk tujuan mencuri maklumat peribadi seperti nombor kad kredit, kata laluan dan juga maklumat-maklumat lain. Insiden fappening yang melibatkan pelakon The Hunger Games, Jennifer Lawrence menjadi mangsa tidak lama dahulu berpunca daripada jenayah atas talian ini.

-Imej diperoleh dari Niel Harper

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.