September tahun lalu, terdapat ura-ura yang mengatakan AMD telah melancarkan pemprosesan Ryzen 5 3500X untuk pasaran China sahaja tanpa membuat pengumuman rasmi. Kini, perkembangan terbaru menyaksikan AMD bakal melancarkan CPU desktop berkenaan untuk pasaran Malaysia.
Secara ringkasnya, 3500X memiliki bilangan teras yang sama dengan Ryzen 5 3600X iaitu 6 teras. Bagaimanapun, pemprosesan 3500X ini tidak menyokong Simultaneous Multi-threading (SMT), serta mempunyai 6 bebenang sahaja.
Selain itu, Ryzen 5 3500X mempunyai frekuensi klok asas 3.6GHz, dengan klok dipertingkatkan mampu mencapai 4.1GHz. CPU terbaru dari AMD ini juga mempunyai nilai TDP 65W dengan jumlah cache 32MB. Sebagaimana kebanyak pemprosesan AMD Ryzen terbaru, 3500X dihasilkan berasaskan senibina 7nm Zen2.
AMD setakat ini cuma menjelaskan Ryzen 5 3500X bakal hadir sekitar minggu hadapan dan tidak menyatakan tarikh spesifiknya. Dijangkakan, lebih banyak maklumat terkini mengenai pemprosesan desktop AMD terbaru ini bakal muncul dalam masa terdekat ini.













