Sebagaimana yang diumumkan oleh AMD dua minggu sudah, hari ini merupakan tarikh pelancaran rasmi AMD Ryzen 3 di seluruh dunia. Sungguhpun CPU berkenaan masih lagi belum hadir ke pasaran Malaysia setakat ini, harga untuknya sudah pun didedahkan secara rasmi oleh pihak AMD, justeru menunjukkan Ryzen 3 akan tiba ke Malaysia tidak lama lagi.

Hadir dalam dua jenis model, harga bagi AMD Ryzen 3 1200 – 4C/4T, 3.1GHz Asas/3.4GHz Dipertingkatkan, 65W TDP adalah pada RM 519. Manakala untuk AMD Ryzen 3 1300X – 4C/4T, 3.4GHz Asas/3.7GHz Dipertingkatkan, 65W TDP adalah RM 599.

Secara amnya, harga yang ditawarkan ini tidak jauh bezanya dengan harga yang ditawarkan untuk pasaran Amerika Syarikat. Sebagai rujukan, Ryzen 3 1200 dijualkan pada harga $109 (lebih kurang RM467) manakala Ryzen 3 1300X pula disenaraikan pada $129 (lebih kurang RM467).

Kedua-dua model CPU terkini dari AMD ini turut hadir dengan penyejuk CPU, Wraith Stealth yang sebelum ini ditawarkan bersama-sama pembelian AMD Ryzen 5 1400. Tidak dilupakan, kedua-duanya menampilkan unlocked multipliers yang membolehkannnya dibuat overclock apabila digunakan bersama-sama papan induk berasaskan AM4 –  X370, B350, dan X300.

Kehadiran AMD Ryzen 3 tentunya dinanti-nantikan oleh pengguna-pengguna komputer desktop yang sentiasa mahukan pilihan alternatif yang baik selain dari penggunaan CPU Intel yang sebelum ini mendominasi pasaran CPU desktop.

Tinggalkan komentar