Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 akan mula berkuat kuasa secara rasmi pada 1 Jun 2026. Pengumuman dibuat oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali semasa sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2026 di Kota Kinabalu semalam. Sambutan tersebut telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pindaan akta ini telah diwartakan pada 30 Januari 2026, dan kerajaan berkemungkinan akan memberikan satu tempoh peralihan kepada penyedia kemudahan sewa beli. Ia  membolehkan pihak yang terlibat menyelaraskan sistem, proses, serta dokumentasi masing-masing.

Langkah ini juga selari dengan hasrat kerajaan untuk menyokong transformasi pendigitalan dalam sektor kewangan negara.

Menurut Armizan, penyedia yang sudah bersedia boleh mula menawarkan perjanjian sewa beli mengikut pindaan baharu sebaik sahaja tarikh kuat kuasa bermula pada 1 Jun 2026.

Antara perubahan yang diperkenalkan dalam Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 termasuklah:

  • Pemansuhan Kaedah ‘Rule of 78’: Sistem pengiraan lama di mana sebahagian besar ansuran awal pinjaman digunakan untuk membayar faedah (berbanding prinsipal).
  • Penghapusan Kadar Faedah Tetap (Flat Interest Rate): Memastikan peminjam tidak lagi dibebani caj yang tidak munasabah apabila mereka merancang untuk membuat penyelesaian awal (early settlement) pinjaman mereka.
  • Penyepaduan Teknologi Digital: Undang-undang baharu ini membenarkan penggunaan elemen teknologi. Antaranya tandatangan digital serta penyerahan dokumen secara elektronik untuk mempercepatkan dan memudah cara proses perjanjian.

Pelaksanaan pindaan ini merupakan sebahagian daripada agenda utama pergerakan pengguna bagi tahun 2026. Ia menumpukan kepada pembaharuan undang-undang berkaitan hak pengguna.

Pembaharuan ekosistem kredit ini turut disokong oleh pelaksanaan Akta Kredit Pengguna 2025 (Akta 873).  Kementerian Kewangan yang telah menguat kuasa akta tersebut lebih awal pada 1 Mac 2026. Ia bertujuan untuk mewujudkan pasaran kredit yang lebih telus, bertanggungjawab, dan selamat untuk seluruh rakyat Malaysia.

Tinggalkan komentar