Tidak beberapa lama selepas dilancarkan, Disney Plus dilaporkan telah digodam dengan sebahagian akaun-akaun penggunanya di jual di dalam laman-laman dark web.
Perkhidmatan penstriman Disney Plus menerima lebih dari 10 juta pelanggan mendaftar pada hari pertama pelancarannya. Atas sebab itu, sesetengah pengguna dilaporkan mengalami masalah ketika menonton.
Selain dari masalah kualiti penstriman, masalah akaun pengguna digodam turut membelenggu perkhidmatan penstriman kandungan dari Disney ini. Sebahagian besar akaun-akaun yang digodam ini dijual di pasaran dark web pada harga sekitar serendah US$3 (~RM12) hingga US$11 (~RM46). Kos langganan Disney Plus adalah pada kadar US$6.99 (~RM29) sebulan, manakala kos langganan tahunan pula adalah US$69.99 (~RM291).
Setakat ini masih belum diketahui cara apa yang telah digunakan oleh penggodam-penggodam tersebut mendapatkan akaun-akaun Disney Plus.
Antara sebab yang dijangkakan mungkin menjadi punca kepada pencerobohan data berkenaan adalah ketiadaan sebarang bentuk pengesahan dua-peringkat dilaksanakan untuk proses pendafataran dan juga log masuk ke perkhidmatan berkenaan.
Sumber berita diperoleh dari ZDNet













